Komunikasi bukan lisan menjadi medium utama bagi membolehkan ‘pertuturan’ menggunakan bahasa isyarat berlaku antara individu OKU pendengaran. Gambar kecil: Mohd Shahnawi.
Komunikasi bukan lisan menjadi medium utama bagi membolehkan ‘pertuturan’ menggunakan bahasa isyarat berlaku antara individu OKU pendengaran. Gambar kecil: Mohd Shahnawi.

Komunikasi bukan lisan buka ruang kelangsungan hidup OKU pendengaran

04 Feb 2024 05:38pm

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mentafsirkan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran sebagai individu yang tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran.

Justeru, komunikasi bukan lisan menjadi medium utama bagi membolehkan ‘pertuturan’ menggunakan bahasa isyarat berlaku antara individu OKU pendengaran.

Seiring dengan perubahan masa dan teknologi, keperluan golongan OKU pendengaran semakin mendapat perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau akan membawa permasalahan seperti pendidikan menengah OKU pendengaran yang terhad bagi dibincangkan di dalam Kabinet.

Perkara ini adalah rentetan daripada hanya ada sebuah sekolah di negara ini yang menjalankan peperiksaan SPM bagi pelajar OKU pendengaran.

Statistik yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan masyarakat menunjukkan sehingga 31 Januari 2023, seramai 42,652 rakyat Malaysia iaitu 23,240 daripadanya adalah lelaki dan 19,412 daripadanya perempuan yang berdaftar sebagai OKU pendengaran.

Sekiranya kerajaan menyokong usaha menambah baik fasiliti pembelajaran dan memperbanyakkan sekolah serta pusat pengajian tinggi yang bersesuaian dengan golongan OKU pendengaran, maka usaha ini bakal memanfaatkan mereka yang tidak secara langsung boleh menyumbang kepada produktiviti negara atau setidak-tidaknya membolehkan golongan berkenaan berdikari dan mempunyai kehidupan berkualiti.

Negara seperti Norway, telah melihat peri pentingnya komunikasi bukan lisan atau dengan lebih spesifik bahasa isyarat apabila merujuk kepada OKU pendengaran.

Kerajaan Norway telah menetapkan bahasa isyarat perlu dipelajari oleh pelajar normal dan OKU pendengaran, malah subjek ini juga telah menjadi sub topik dalam kokurikulum yang baru kepada setiap pelajar.

Artikel Berkaitan:

Usaha murni ini telah memberi sinar kepada bukan sahaja OKU pendengaran tetapi menjadi dorongan kepada masyarakat agar cakna dan saling membantu kepada golongan yang memerlukan kerana mereka juga punyai hak untuk hidup seperti insan normal lain.

Peluang OKU pendengaran dalam pendidikan juga dilihat agak terbatas apatah lagi jika terdapat keadaan yang mana dalam kalangan ibu bapa adalah merupakan OKU pendengaran.

Persoalannya adalah bagaimana sistem pendidikan hari ini melihat kepada keperluan tersebut?

Komunikasi bukan lisan menjadi landasan bagi ibu bapa OKU untuk mengetahui apa yang boleh anak-anak mereka pelajari dan pada masa sama memberikan maklum balas terhadap perkembangan anak-anak mereka yang normal.

Negara-negara seperti Perancis, Denmark, Australia dan Norway membuktikan peranan juru bahasa isyarat adalah signifikan dalam membantu OKU pendengaran.

Bemula dari bidang pendidikan perubatan sehingga urusan OKU di jabatan-jabatan kerajaan, negara-negara ini telah menyediakan khidmat juru bahasa isyarat secara percuma bagi memudahcara OKU pendengaran.

Mereka ini berhak mendapat maklumat yang diperlukan dan tidak dikesampingkan dalam arus kemodenan.

Kesimpulannya, usaha yang telah mula dilakukan kerajaan diharapkan dapat memberikan nilai yang amat berharga kepada OKU pendengaran.

Komunikasi bukan lisan seperti bahasa isyarat harus diberi penekanan dalam pendidikan awal dan tidak terhad kepada golongan OKU tetapi juga majoriti golongan normal.

Ruang komunikasi yang diberikan kepada golongan OKU pendengaran ini akan membantu kelangsungan hidup (survival) mereka dalam dunia yang lebih mencabar pada hari ini.

Maklumat Penulis

Koordinator Komunikasi Antarapersonal, Pusat Komunikasi dan Multimedia, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Mohd Shahnawi Muhmad Pirus

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp