Tuanku Syed Sirajuddin berkenan melancarkan logo baharu pada Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ sebagai mercu ilmu dan cahaya baharu Perlis di Dewan 2020. Turut berangkat Tuanku Tengku Fauziah.
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan melancarkan logo baharu pada Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ sebagai mercu ilmu dan cahaya baharu Perlis di Dewan 2020. Turut berangkat Tuanku Tengku Fauziah.

Lima amanat utama pacu kemajuan UniSIRAJ - Raja Perlis

14 Nov 2025 11:10am

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan lima amanat utama sebagai panduan seluruh warga Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi memastikan institusi pengajian itu terus maju berteraskan kebenaran, ilmu dan keikhlasan serta sentiasa berada dalam lindungan dan keberkatan ALLAH SWT.

Baginda bertitah, amanat pertama ialah menjadikan penghayatan sunnah sebagai teras segala gerak universiti, diikuti kedua melahirkan insan berilmu, berakhlak dan beradab manakala amanat ketiga menjadikan UniSIRAJ sebagai institusi rujukan Islam pelbagai disiplin ilmu.

Amanat keempat pula memperkukuh penyelidikan dan inovasi berteraskan nilai Islam dan kelima memperkukuh peranan UniSIRAJ dalam pembinaan tamadun serta kemanusiaan sejagat.

"Lima amanat ini hendaklah dijadikan panduan dan pedoman dalam seluruh perjalanan universiti ini. Apabila ketiga-tiga asas ini bersatu iaitu sunnah, ilmu dan amanah maka akan lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang ilmunya, tetapi juga luhur akhlaknya.

"Dengan izin dan inayah ALLAH SWT, UniSIRAJ akan terus tumbuh sebagai mercu ilmu, pusat hikmah dan cahaya tamadun baharu bagi negeri Perlis - tempat 'Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan'," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah ketika memasyhurkan UniSIRAJ sebagai mercu ilmu dan cahaya baharu Perlis di Dewan 2020, di sini. 

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, dalam dunia yang sarat dengan pertembungan ideologi dan kekosongan rohani, UniSIRAJ mesti tampil membawa makna sebenar rahmatan lil-'alamin dengan menjadi jambatan antara dunia Islam dan masyarakat antarabangsa, menyebarkan mesej kasih sayang, perdamaian, serta tanggungjawab kemanusiaan melalui ilmu dan amal.

Untuk rekod, UniSIRAJ dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebelum dinaik taraf menjadi universiti dan pada 23 November tahun lepas, Bernama melaporkan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor KUIPs bertitah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui surat bertarikh 15 November 2024 telah meluluskan pendaftaran KUIPs untuk dinaik taraf sebagai universiti.

Terdahulu pada majlis pemasyhuran UniSIRAJ, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle diisytiharkan sebagai Naib Canselor pertama universiti tersebut.

Beliau sebelum ini merupakan Rektor KUIPs. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan lima amanat utama untuk warga Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin sebagai panduan
  • Amanat pertama adalah menjadikan penghayatan sunnah sebagai teras universiti
  • Amanat kedua melahirkan insan berilmu, berakhlak, dan beradab
  • Ketiga, menjadikan UniSIRAJ sebagai institusi rujukan Islam
  • Keempat, memperkukuh penyelidikan dan inovasi berdasarkan nilai Islam dan kelima, memperkukuh peranan UniSIRAJ dalam pembinaan tamadun dan kemanusiaan sejagat
  • UniSIRAJ diharapkan menjadi mercu ilmu dan cahaya tamadun baru bagi Perlis
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp