Kumpulan mahasiswa yang menyertai Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan ke Sabah 2024, baru-baru ini.
Kumpulan mahasiswa yang menyertai Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan ke Sabah 2024, baru-baru ini.

Mahasiswa sertai misi sukarelawan ke Sabah

20 Sep 2024 04:39pm
A
A
A

Seramai 100 mahasiswa seluruh negara terpilih untuk menyertai Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan ke Sabah 2024, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, program adalah salah satu platform kepada penuntut kerana ia menjadi tapak integrasi nasional individu dari latar belakang yang berbeza untuk bersatu demi matlamat lebih besar.

“Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan ke Sabah 2024 menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawan agar semangat sukarelawan dipupuk dan dibudayakan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat.

“Penyertaan dan penglibatan secara langsung dalam aktiviti bertunjangkan kesukarelawan mampu melahirkan belia yang bersemangat patriotik dan muhibah yang tinggi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, program berkenaan adalah satu inisiatif Kementerian Perpaduan Negara yang dilancarkan pada tahun 2023 dan merupakan salah satu pengisian utama program flagship kementerian iaitu Kembara Perpaduan Malaysia Madani.

“Ini sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan membangun Malaysia Madani yang menerapkan elemen hormat-menghormati dan menjadikan warisan sebagai salah satu platform pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sehingga 2023, sebanyak tujuh misi sukarelawan siswa ke Sabah telah dijalankan di 36 buah lokasi dengan penglibatan 608 sukarelawan siswa yang telah melaksanakan 1,054 projek sukarelawan,” ujar beliau.

Terdahulu, Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan ke Sabah 2024 yang berlangsung 1 hingga 18 September lalu, menyaksikan sukarelawan dihantar ke enam daerah berasingan iaitu Penampang, Kudat, Kota Belud, Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu.

Para peserta melaksanakan beberapa projek utama seperti membaik pulih Kompeni A, Batalion 2, infrastruktur sekolah dan masjid di lokasi terlibat.

Mereka juga mengadakan projek sukarelawan berdasarkan enam teras kesukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) mengikut keperluan lokasi.

Majlis Flag Off program disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin

Turut serta Saraswathy; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Sabah, Datuk Ruslan Muharam; Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, Tan Sri Datuk Alimudin Md Dom dan Penolong Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Mohammad Saffree Jeffree di Dewan Bankuasi, UMS.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok