Mahasiswa UIAM teruja sertai #QuranHour
Al-Quran merupakan bahan bacaan sepanjang zaman bagi umat Islam yang telah diturunkan untuk mengajar dan mendidik manusia tentang ALLAH yang Esa.
Mereka yang membacanya apatah lagi menjadikan al-Quran sebagai sahabat di dunia akan mendapat syafaat di akhirat kelak seperti disebut di dalam hadis Rasulullah “Bacalah al-Quran, sesunguhnya ia akan datang pada hari kiamat menjadi pemberi syafaat bagi orang-orang yang bersahabat dengan-NYA.” (Hadis Riwayat Muslim).
Pernyataan itu turut disokong mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Adlan Syahmi Azhan yang ditemui sempena program World #QuranHour pada Khamis.
Menurut mahasiswa Tahun Satu jurusan Pengajian Quran dan Sunnah itu, program sebegini amat dinanti-nantikan kerana mahasiswa sepertinya bukan sahaja dapat mengaji al-Quran tetapi turut berpeluang bertadabbur kitab tersebut.
“Program World #QuranHour ini amat bagus diadakan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan iaitu bulan turunnya kitab suci ini.
“Kita bukan sahaja dapat membaca tetapi bertadabbur yang saya rasakan amat penting untuk kita memahami dan mengamalkan al-Quran,” katanya pada Sinar Bestari ketika ditemui pada program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh dunia dari lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak.
Tambahnya lagi ketika ditanya mengenai kebaikan program berkenaan kepada golongan mahasiswa, World #QuranHour membantu dia dan rakan-rakan lain mengetahui isi kandungan al-Quran yang boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam urusan menuntut ilmu.
Ia juga boleh bertindak sebagai sumber motivasi kepada mahasiswa dalam meneruskan perjuangan bagi menamatkan pelajaran.
Selain itu, mahasiswa UIAM dalam jurusan sama, Nur Syasalsabila Suhaimy Sulaiman turut berkata, program World #QuranHour ini semenangnya ditunggu-tunggu setiap tahun selepas negara berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menjadikan program itu dijalankan secara dalam talian.
Dia ketika ditemui Sinar Bestari kelihatan teruja kerana buat pertama kalinya dapat menyaksikan program berkenaan bersiaran secara langsung.
“Saya seronok kerana ini merupakan kali pertama berpeluang menyaksikan World #QuranHour secara langsung di depan mata.
“Dengan adanya program ini mahasiswa berpeluang membaca al-Quran walaupun sibuk dengan urusan seharian,” ujarnya.
Dalam pada itu, program World #QuranHour tahun ini merupakan anjuran kali-8 dengan bertemakan Misi Surah Al-Insan: Memanusiakan Ummah.
Kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini telah bermula sejak 2015 dan kini telah menjadi jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.