Seaan Manuel Pillay
Seaan Manuel Pillay

Mahasiswa USM ditawar ikuti program Sky Global Apprenticeship di Turkiye

19 Jul 2024 08:28pm

Seorang penuntut Tahun Tiga Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKA), Universiti Sains Malaysia (USM) telah ditawarkan mengikuti program Sky Global Apprenticeship di Turkish Aerospace di Ankara, Turkiye pada 2 hingga 27 September nanti.

Penyerahan surat tawaran kepada Seaan Manuel Pillay disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Cyberjaya pada 16 Julai lepas dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datuk Dr Narimah Samat yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed.

Narimah berkata, kejayaan Seaan merupakan satu pencapaian besar bagi universiti dan sektor pendidikan tinggi Malaysia.

"Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman kerja antarabangsa tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri di peringkat global.

"Ini selaras dengan usaha USM untuk melahirkan siswazah yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan industri dalam bidang aeroangkasa," maklumnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Program Sky Global Apprenticeship merupakan satu daripada inisiatif berimpak tinggi di bawah kerjasama Konsortium Universiti Malaysia (CMU), Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan TUSAS Malaysia, yang dimeterai pada 7 April tahun lepas.

PPKA USM pula merupakan antara pusat pengajian yang giat dalam bidang penyelidikan yang berkaitan.

Program itu direka khas buat pelajar Malaysia bagi memastikan mereka dapat dilatih secara profesional dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, selain didedahkan dengan pengalaman praktikal termasuk avionik, reka bentuk elektronik, pengaturcaraan, reka bentuk struktur pesawat dan pemasangan sistem pesawat. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp