Program Love Maths with TISSA-UUM & Yayasan Mohd Khairi 2024 Siri ke-2 bersama pelajar SMK Langkawi yang berupaya mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Program Love Maths with TISSA-UUM & Yayasan Mohd Khairi 2024 Siri ke-2 bersama pelajar SMK Langkawi yang berupaya mengeratkan hubungan sesama komuniti.

Mahasiswa UUM adakan kelas tambahan SPM percuma

25 Jul 2024 02:44pm
A
A
A

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah peristiwa penting bagi pelajar yang akan menentukan hala tuju hidup mereka selepas tamat pengajian di sekolah menengah.

Dalam usaha meningkatkan penguasaan dan persediaan menduduki peperiksaan SPM, mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan kelas tambahan secara percuma untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi, Pulau Tuba.

Pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Nur A'ishah Mohd Fadzli berkata, fokus utama sesi pembelajaran dua hari itu adalah untuk menggalakkan pemahaman dan memantapkan lagi penguasaan pelajar terhadap konsep asas Matematik serta strategi menjawab soalan.

“Kami datang pertama kali tahun lepas, pengalaman mengajar sungguh menyeronokkan walaupun pada awalnya agak gementar sebab kami sudah lama tinggalkan Matematik peringkat SPM, dan mujur Cikgu Azhar banyak membantu kami kemaskini dengan silibus terkini.

“Sambutan amat baik, pelajar menunjukkan minat dan bersemangat untuk belajar walaupun kelas diadakan pada hari cuti yang sepatutnya mereka balik kampung namun tetap setia mengikuti kelas ini,” katanya.

Tambah A’ishah, prestasi pelajar meningkat berbanding sesi tahun lepas dan pelajar sudah mula menguasai kemahiran asas malah ada yang sudah boleh mengajar rakan-rakan sesama sendiri.

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Profesor Madya Dr Hazeline Ayoup, kelas tambahan ini melibatkan 29 pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki peperiksaan SPM bagi tahun 2024 pada Disember nanti.

“Program ini membantu pelajar meningkatkan kemahiran berkomunikasi di khalayak ramai serta keyakinan diri apabila ditugaskan membentangkan hasil perbincangan tugasan kepada pensyarah serta guru yang membimbing,” kata beliau.

Ujar beliau lagi, terdapat peningkatan murid lulus mata pelajaran Matematik daripada 48.28 peratus pada tahun 2022 kepada 57.50 peratus pada tahun lalu.

“Selain sesi bersemuka ini, sesi akan diteruskan melalui kelas online yang akan dijalankan sebanyak dua kali sebulan mulai Julai hingga November tahun ini,” ujarnya.

Hazeline (belakang) melihat mahasiswa berkongsi ilmu Matematik bersama pelajar.
Hazeline (belakang) melihat mahasiswa berkongsi ilmu Matematik bersama pelajar.

Di samping itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Akademik, Rusdi Hamzah berterima kasih kepada TISSA-UUM, mentor-mentor pelajar UUM serta para penaja yang bertungkus-lumus menjayakan usaha murni ini.

“Inisiatif ini telah memotivasikan serta membantu pelajar SMK Langkawi untuk meningkatkan kecemerlangan akademik mereka di samping menyimpan cita-cita untuk ke menara gading suatu hari nanti,” ucapnya.

Untuk makluman, program kelas tambahan Love Maths with TISSA-UUM & Yayasan Mohd Khairi 2024 itu mendapat tajaan utama dari Yayasan Mohd Khairi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok