Sesi tandatangan MoU antara MQA dan CSCSE.
Sesi tandatangan MoU antara MQA dan CSCSE.

Malaysia 'lubuk' pelajar China sambung pendidikan tinggi

23 Jul 2024 12:49pm

Malaysia menjadi antara destinasi pilihan utama bagi pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu didorong oleh pelbagai faktor termasuk kos sara hidup dan pengajian yang berpatutan selain hubungan diplomatik erat antara kedua-dua negara.

“Pelajar dari China mencatatkan permohonan tertinggi dalam mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini dan perkara itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan Malaysia,” menurut beliau.

Mohammad Shatar juga menyatakan dalam usaha memperkukuh inisiatif pendidikan dengan China, MQA turut menjalin kolaborasi bersama Chinese Service Center For Scholarly Exchange (CSCSE) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkuat kerjasama dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian.

"Kerjasama itu menekankan komitmen bersama kedua-dua entiti untuk mengekalkan standard kecemerlangan dan mempromosikan pengiktirafan bersama kelayakan serta program yang diiktiraf," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQA bersama CSCSE terlibat dalam pelbagai usaha kerjasama termasuk memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran kerangka kelayakan negara serta proses akreditasi mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk pengiktirafan kelayakan yang diperoleh melalui pendidikan tinggi.

“Kerjasama itu juga memberi fokus kepada membangunkan mekanisme telus untuk penilaian dan pengiktirafan kelayakan yang diperoleh melalui kerjasama pendidikan antarabangsa,” ujar beliau.

Katanya, ia bagi memperkukuhkan pertukaran akademik, perkongsian antara institusi pendidikan di Malaysia dengan China dan berkongsi penemuan penyelidikan serta amalan terbaik.

"Berdasarkan portal Study in China, mekanisme pengiktirafan bersama program akademik bagi mempromosikan kerjasama dalam pendidikan tinggi memudahkan mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.

"Menerusi kerjasama termeterai dengan CSCSE, agensi kelayakan dari China itu mengiktiraf semua program yang telah mendapat akreditasi daripada MQA, inisiatif ini mampu menarik lebih ramai pelajar negara itu ke Malaysia," akhir kata beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp