Jalur Gemilang
Jalur Gemilang

Malaysia Madani: Jiwa Merdeka

28 Aug 2024 07:00am

‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ diangkat sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun 2024, bertepatan dengan ikatan perpaduan yang teguh dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.

‘Malaysia Madani’ merupakan tunjang kepada kemakmuran dan kemajuan Negara Malaysia melalui dukungan enam (6) nilai teras utama.

‘Jiwa Merdeka’ adalah penzahiran kepada kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai cara meliputi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk satu kesatuan rakyat yang kukus, harmoni dan progresif.

‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara yang maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya.

Sebagai simbolik sambutan hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, pelbagai aktiviti kenegaraan dianjurkan bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia saban tahun.

Sambutan ini bertujuan untuk memperkukuhkan identiti kebangsaan Malaysia dan menghargai kepelbagaian budaya, agama dan etnik yang menjadi kebanggaan negara.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak ketinggalan dalam meraikan bulan Kebangsaan dengan cara tersendiri.

Pelbagai program telah diatur bagi merancakkan lagi sambutan bulan Kebangsaan antaranya mengadakan Majlis Pra Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat UMT pada 7 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pelbagai program menarik telah diatur antaranya Pertandingan TikTok Vlog: Jiwa Merdeka (Patriotik), Pertandingan Infografik Kemerdekaan, Pertandingan Penulisan Anekdot Merdeka, Pertandingan Pejabat Ceria Merdeka, Bicara Semarak Jiwa Merdeka, Pelayaran Kemerdekaan dan banyak lagi program menarik bakal disajikan untuk menaikkan semangat jiwa merdeka dalam kalangan warga kampus.

Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia disambut dengan lebih bermakna dengan menyematkan jiwa merdeka dalam diri setiap individu serta memastikan semangat kebebasan dan cintakan tanah air terus hidup dan berkembang sekali gus menyediakan Malaysia ke arah masa depan lebih sejahtera.

Kempen kibarkan Jalur Gemilang harus diberi perhatian agar jiwa anak-anak muda terkesan dan berbangga menjadi warganegara Malaysia yang tercinta disamping menyemaikan rasa tanggungjawab dan sanjungi Jalur Gemilang, kebanggan rakyat Malaysia.

Semangat patriotisme dan 'Jiwa Merdeka’ perlu dipupuk dan disemat dalam diri seseorang sejak kecil lagi, agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu. Rasa cintakan tanah air dan patriotisme harus dipupuk bermula dari institusi kekeluargaan dan peringkat awal alam persekolahan.

Generasi muda perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka kecapi hari ini bukan datang secara percuma.

Keamanan yang diperolehi hari ini merupakan pengorbanan, tumpahan keringat, darah serta nyawa pejuang negara terdahulu. Perkara ini perlu dihayati sepenuhnya oleh seluruh warga Malaysia bukan sahaja pada bulan Kebangsaan malah sepanjang tahun bagi menyemarakkan jiwa anak merdeka.

Generasi hari ini tidak pernah melalui pahit getir zaman darurat, mereka lahir dan hidup dalam era diwarisi daripada generasi sebelumnya yang terpaksa mempertaruhkan nyawa mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara.

Amat penting untuk kita bersama-sama berusaha keras menyemai semangat patriotisme, hormat menghormati antara kaum dan agama serta bertolak ansur di samping mewujudkan masyarakat yang cinta negara dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan negara.

Justeru, institusi kekeluargaan dan golongan pendidik serta semua pihak berkepentingan harus berusaha keras dalam memastikan semangat cintakan tanah air serta sikap toleransi antara kaum dan agama dikekalkan.

Maklumat Penulis

Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu, Rozita Alias

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp