No Image Caption

Mangkuk Tingkat tanda prihatin KPJU

26 Mar 2024 01:01pm

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan, di mana umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadah puasa sebagai satu bentuk pengorbanan dan ibadah kepada ALLAH.

Bagi mahasiswa yang kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan, berbuka puasa mungkin menjadi satu cabaran yang besar.

Terbaharu, Universiti KPJ Healthcare (KPJU) mengambil inisiatif mengagihkan makanan secara percuma kepada 70 mahasiswa menerusi program yang diberi nama Mangkuk Tingkat yang dijayakan Jabatan Kebajikan Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (SRC).

Menurut Ketua Jabatan Kebajikan Pelajar, Musa Abdul Rahman, penghargaan perlu diberikan kepada pihak yang berbesar hati menghulurkan sumbangan bagi tujuan pembelian pek makanan untuk diagihkan kepada mahasiswa KPJU.

“Aktiviti ini mencerminkan nilai-nilai kebersamaan, kasih-sayang serta kepedulian dalam membantu sesama manusia,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden SRC yang juga merupakan mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Muhamad Afzan Syafiq Aslin berkata, suasana mesra dan penuh kasih sayang perlu dicipta bagi memastikan aktiviti ini memberi impak positif terutama kepada fizikal dan emosi para penerima.

“Aktiviti seperti ini tidak hanya memperkukuh hubungan sosial antara pelajar dan staf tetapi juga memberi peluang kepada mahasiswa memahami nilai-nilai kesabaran, pengorbanan dan kesyukuran yang diajar dalam ibadah puasa,” ujar Anis Safiyah Ahmad Tarmizi, salah seorang AJK program dari Program Diploma Pengimejan Perubatan.

Mahasiswa yang menerima sumbangan juga meluahkan rasa syukur dan merasakan sumbangan seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban tetapi sekaligus merasa diri mereka dihargai kerana terdapat pihak yang sedia membantu.

Artikel Berkaitan:

Dengan adanya aktiviti ini di kampus, ia bukan sahaja menjadi satu tradisi yang memperkukuhkan hubungan sosial dalam kalangan komuniti kampus, tetapi menjadi platform untuk memahami dan menghargai nilai-nilai keagamaan yang diajar dalam ibadah puasa.

Semoga inisiatif seperti ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp