Pengunjung khasnya wanita diberi penerangan mengenai penjagaan payudara.
Pengunjung khasnya wanita diberi penerangan mengenai penjagaan payudara.

Mahasiswa dan pengajar KPJU rai wanita Jempol

11 Mar 2024 09:35am

Seramai 50 mahasiswa dan tenaga pengajar dari Universiti KPJ Healthcare (KPJU) terlibat dalam penganjuran Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Laman Wanita Jempol, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Malaysia menerusi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan itu dihadiri lebih daripada 100 pengunjun dari kawasan sekitar serta agensi kerajaan.

Objektif utama sambutan adalah memperkasakan pengetahuan tentang kesihatan wanita di samping memberi pendedahan kepada mahasiswa KPJU untuk berinteraksi dengan masyarakat.

Pelbagai aktiviti menarik diatur bermula dengan zumba seawal jam 8 pagi dan diteruskan dengan pengisian ilmu tentang kesihatan wanita daripada pakar ginekologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Fauziah Mohd Hassan dan ceramah kesihatan mental oleh pakar psikologi klinikal merangkap Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi KPJU, Siti Hajar Norhan.

Selain itu, beberapa aktiviti seperti demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (cardiopulmonary resuscitation, CPR), demonstrasi Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), pameran kenali ubat anda, serta aktiviti fioterapi, Chair Exercise turut dijalankan.

Seramai lima mahasiswi dari Jabatan Pengimejan Perubatan, KPJU memberikan penekanan kepada kesihatan payudara wanita yang berkunjung ke ruang pameran mereka.

Taklimat kesihatan juga diadakan oleh tenaga pengajar KPJU.
Taklimat kesihatan juga diadakan oleh tenaga pengajar KPJU.

Artikel Berkaitan:

Pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Pengimejan Perubatan KPJU, Zulfa Mohamed berkata, informasi mengenai kanser payudara serta kaedah pengesanan awal kanser merupakan antara perkongsian bersama para pengunjung pameran.

“Aktiviti seperti ini dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat tentang pentingnya mendapatkan saringan awal kanser payudara.

“Kumpulan kami menayangkan video inovasi PSP dan pemeriksaan mamografi serta melakukan demonstrasi teknik PSP menggunakan fantom payudara bagi membantu masyarakat mengetahui proses yang terlibat dengan lebih jelas serta dapat menerapkan prasangka positif dalam masyarakat mengenai aktiviti pengesanan awal kanser payudara, terutama pemeriksaan mamogram,” ujarnya.

Menurut salah seorang peserta program, informasi yang dikongsi sepanjang program adalah sangat bermanfaat serta membuka minda masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan.

Manakala peserta program, Leaxmipriya A/P Kumanan berkata, dia teruja dapat menyertai program kenasyarakatan yang disifatkan cukup bermanfaat kepada dirinya.

“Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat memberi pengalaman berharga tetapi juga dapat mengasah kemahiran insaniah seseorang terutamanya dalam kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama.

“Jika diberi peluang, sudah pasti saya tidak akan teragak-agak untuk menyertainya lagi,” tuturnya.

Semoga aktiviti seperti ini dapat diperbanyak serta diteruskan demi kesejahteraan masyarakat.

Maklumat Penulis

1 - Mahasiswa tahun akhir, Sarjana Muda Pengimejan Perubatan KPJU, Puteri Iffah Irdina Izrul Syahryll

2 - Professor Fakulti Sains Kesihatan KPJU, Dr Norhayati Mohd Zain

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp