Memerdekakan perairan daripada 'penjajahan' ikan bandaraya
Kebanjiran ikan asing di perairan negara merupakan satu situasi yang amat membimbangkan.
Pembiakan spesies ikan asing secara berleluasa dan di luar kawalan telah menyebabkan kerosakan, ketidakseimbangan ekosistem biodiversiti akuatik, dan menjejaskan populasi ikan tempatan. Sifat ikan asing yang lebih kuat dan lasak berbanding ikan tempatan mendominasi di perairan seluruh negara.
Kebanyakan ikan asing ini dibawa masuk melalui industri akuarium mahupun akuakultur secara berlesen atau haram.
Apabila ikan-ikan ini dilepaskan ke perairan secara sengaja atau tidak sengaja, secara langsung ia menjadi ancaman kepada ekosistem biodiversiti tempatan.
Salah satu spesies yang kini mendominasi perairan utama di Lembah Klang ialah Hypostomus plecostomus atau lebih terkenal dengan panggilan ikan bandaraya.
Spesies ikan air tawar tropika yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan itu, amat digemari dalam kalangan penggemar ikan hiasan kerana kemampuannya membersihkan akuarium dengan memakan alga.
Dengan harga sekitar RM2 hingga RM3 seekor serta saiznya yang kecil, ikan ini mudah didapati di kebanyakan kedai akuarium. Namun, apabila ikan ini membesar, ramai pemilik yang tidak lagi berminat menjaganya dan melepaskannya ke sistem perairan terdekat seperti sungai termasuk tasik.
Ikan bandaraya dikategorikan sebagai spesies invasif di Malaysia mengikut kumpulan Perosak Asing Berbahaya di Malaysia (2018).
Isu spesies asing invasif ini juga ditekankan dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025. Menjelang tahun 2025, dasar ini menyasarkan untuk mengenal pasti spesies asing invasif dan cara kemasukannya ke sistem perairan serta mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi menghalang kehadiran dan pembiakannya.
Sebagai usaha menangani masalah ini, Universiti Malaya (UM) melalui Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) bersama Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) melaksanakan pertandingan menjala ikan bandaraya melalui Projek Pleco Pupus 2024: Nurturing Rivers, Empowering Communities.
Pertandingan itu ditaja bersama oleh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd.
Ketua Projek Bersama dari UM, Affan Nasaruddin berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu salah satu inisiatif bagi mengurangkan populasi ikan bandaraya dan memulihara ekosistem sungai.
“Melalui pendekatan berkonsepkan pertandingan, ia memberi insentif kepada komuniti untuk bersama-sama membantu mengurangkan populasi ikan asing ini.
“Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada orang awam menyertai pertandingan ini yang berlangsung di Sungai Damansara, Shah Alam. Menariknya, dalam tempoh masa hanya dua jam, lebih satu tan ikan bandaraya berjaya dikeluarkan dari sungai ini.
"Jumlah sebesar ini sebenarnya bukan satu perkara yang ingin kita banggakan, tetapi sebagai peringatan yang situasi ikan asing ini sudah berada pada tahap yang kritikal dan amat merisaukan,” kata Affan lagi.
Sementara itu, penyelidik dan Ketua Projek Bersama dari UNISEL, Dr Intan Faraha A Ghani berkata, hampir semua sungai utama di Lembah Klang, termasuk Sungai Klang dan Sungai Langat terjejas dengan kebanjiran ikan bandaraya ini.
"Ikan asing ini mudah membiak dengan cepat dan amat sukar dimusnahkan. Malah, ikan ini menjadi antara punca kepupusan ikan-ikan tempatan.
“Peningkatan populasi ikan ini memberi impak negatif kepada perikanan darat antaranya menjejaskan pendapatan nelayan sungai dengan penurunan stok ikan tempatan disebabkan gangguan habitat dan pemangsaan dalam rantaian ekosistem makanan.
"Beberapa laporan kebanjiran spesies ini telah menyebabkan kerugian kepada nelayan sungai seperti kerosakan pukat dan kerugian masa bagi membuang ikan ini semasa aktiviti tangkapan ikan dijalankan,” ujarnya.
Beliau juga menekankan bahawa wujudnya komuniti aktif seperti KPIB ini menjadi tonggak utama bagi membantu mengurangkan populasi ikan bandaraya serta menyampaikan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat mengenai kerosakan ekosistem oleh ikan asing ini.
Sementara itu, kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan proaktif dalam mengurangkan populasi ikan asing tersebut dengan menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya bermula 1 September ini sebagai langkah memulihara sungai dan spesies ikan tempatan.
“Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak iaitu komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, industri serta institusi pendidikan dan penyelidikan adalah satu model kerjasama cemerlang bagaimana kita boleh berganding bahu untuk mencapai matlamat bersama iaitu dapat memulihkan ekosistem sungai di Negeri Selangor,” kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim sewaktu ucapan penutupan program.