Gambar hiasan daripada Unsplash.
Gambar hiasan daripada Unsplash.

Minat mendalam jurusan kesihatan terutama mata

Muhammad Amril beri nasihat adakan pemeriksaan sekurangnya setahun sekali

AZLEENDA SAHALUDIN
27 Nov 2023 11:48am
A
A
A

Meminati jurusan kesihatan telah menjadi satu dorongan kepada Muhammad Amril Aseef Nazarul Haimi untuk menyambung pengajiannya dalam bidang tersebut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.

Menariknya, minat yang terpendam sejak menuntut di matrikulasi itu sedikit sebanyak membuatkan Muhammad Amril memilih untuk mendalami ilmu kesihatan yang memfokuskan organ mata atau lebih dikenali sebagai optometris.

Katanya, setelah mempelajari ilmu optometri di universiti, dia bukan sahaja dapat mengetahui dengan lebih teliti akan penjagaan kesihatan mata malah turut mengetahui bahawa bidang itu sebenarnya menawarkan pelbagai peluang pekerjaan yang sangat luas.

“Alhamdulillah sepanjang saya belajar saya dapat tahu yang peluang pekerjaannya sangatlah luas di Malaysia.

“Mereka yang mempelajari jurusan ini tidak semestinya bekerja di kedai-kedai cermin mata, malah mereka juga boleh terlibat dalam perkhidmatan yang berkaitan kesihatan mata di hospital atau terapi mata,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai kepentingan mempelajari bidang kesihatan mata, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, ia adalah untuk memastikan setiap orang dapat menikmati pancaindera melihat dengan sempurna.

Disebabkan itu juga, bidang ini memerlukan seseorang yang pakar agar setiap masalah melibatkan kesihatan mata dan yang berkaitan dapat dikesan dengan lebih awal dan mereka yang mengalaminya mendapat rawatan segera.

“Berdasarkan apa yang saya tahu, peratusan pegawai optometris berdaftar sangatlah kurang, hingga ada kedai-kedai cermin mata yang tidak mempunyai pakar mata (optometris).

Artikel Berkaitan:

“Kesannya, mereka cenderung untuk memberi nasihat yang tidak tepat akan penggunaan cermin mata dan lebih bahaya lagi mereka kurang pengetahuan tentang masalah kesihatan dalam mata setiap individu yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang kesihatan mata, Muhammad Amril turut memberitahu, dia agak terkejut melihat sesetengah orang yang masih kurang pendedahan akan kesihatan ini.

Bercerita pengalamannya, bagi mendedahkan khususnya bermula dari keluarga, dia mengambil inisiatif untuk menerapkan ilmu yang dipelajari dengan membuat pemeriksaan ‘power’ mata adik-beradik serta ahli keluarga lain.

“Saya cuba secara kasar untuk melihat sekiranya ada tanda-tanda ahli keluarga yang rabun namun tidak sedar akan hal itu.

“Di sini juga saya ingin menasihatkan supaya orang ramai membuat pemeriksaan mata setahun sekali paling kurang kerana banyak penyakit boleh didapati dengan melakukan rawatan awal menerusi mata seseorang,” katanya.


Muhammad Amril
Muhammad Amril

INFO

Syarat am universiti dan khas program bagi jurusan optometri

Syarat am universiti

1) Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengan baik.

2) Lulus Sejarah (mula diguna pakai SPM 2013).

3) Kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM atau setaraf.

4) Lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan mendapat gred C dalam tiga mata pelajaran termasuk Pengajian Am. 5) Lulus Matrikulasi, Asasi Sains Universiti Malaya (UM), ASASIpintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asasi UiTM dengan mendapat sekurangnya Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.0.

6) Lulus diploma dari institut pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf.

7) Mendapat Malaysian Unversity English Test (MUET) Band 1.

Syarat khas program

1) PNGK 2.75 dalam diploma berasaskan Sains dan Teknologi bagi lepasan diploma UiTM.

2) PNGK 3.0 untuk lepasan diploma IPT berasaskan Sains dan Teknologi.

3) Lulus SPM atau setaraf dengan dua kepujian dalam Biologi, Fizik, Kimia, Matematik dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris.

4) Tidak mempunyai ketidakupayaan fizikal yang menyukarkan kerja amali dan klinikal.

5) 2.75 untuk lepasan Asasi UiTM, Asasi Sains UM, ASASIpintar UKM dan matrikulasi dengan gred B dalam dua mata pelajaran termasuk Biologi, Fizik dan gred C dalam satu mata pelajaran lain.

6) 2.75 untuk lepasan STPM setaraf dengan gred B dalam dua mata pelajaran termasuk Biologi, Fizik dan Gred C dalam satu mata pelajaran lain tidak termasuk pengajian Am.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok