
MMU agih RM1.6 juta bantu pelajar asnaf
Universiti Multimedia (MMU) terus mengukuhkan komitmennya dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua golongan masyarakat dengan memperuntukkan dana sebanyak RM1.6 juta melalui Biasiswa Ibnu Haitham.
Biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar Muslim daripada golongan asnaf fakir dan miskin bertujuan membantu meringankan beban kewangan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di MMU.
Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, Biasiswa Ibnu Haitham ditawarkan kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan termasuk pencapaian sekurang-kurangnya 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.0 dalam asasi atau diploma.
"Penerima biasiswa ini akan mendapat pembiayaan penuh meliputi yuran pengajian dan asrama, elaun sara hidup, elaun buku, serta penyertaan dalam program pembangunan pelajar bagi memastikan mereka dapat mengembangkan potensi secara holistik.
"MMU berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar asnaf yang berpotensi melanjutkan pengajian mereka dalam bidang teknologi sekali gus menyumbang kepada negara pada masa akan datang," katanya pada Majlis Berbuka Puasa MMU Bersama Media baru-baru ini.
Selain Biasiswa Ibnu Haitham, MMU juga menawarkan Biasiswa Jawhar, yang menyasarkan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40).
Biasiswa ini merangkumi bantuan yuran pengajian dan asrama, elaun sara harian, elaun buku, komputer riba dan penyertaan dalam program pembangunan pelajar.
Dalam masa sama, MMU turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan kewangan kepada pelajar yang memerlukan termasuk MMU President's Scholarship, MMU Merit Scholarship, MMU Talent Scholarship, MMU Merit (International) Scholarship, MMU International Student Entrance Scholarship dan MMU International Student Rebates.
Untuk maklumat lanjut mengenai peluang pembiayaan lain di MMU, layari laman web rasmi MMU di www.mmu.edu.my atau hubungi pihak universiti di talian yang disediakan.