Mohamed Khaled seru mahasiswa libatkan diri dalam pidato
Mahasiswa diseru menjadikan pidato sebagai platform untuk menzahirkan cita-cita besar kepada bangsa dan negara.
Ia kerana sektor pendidikan tinggi berperanan menjayakan agenda Malaysia Madani dengan cara melahirkan generasi yang berfikir dengan matang.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, terdapat tiga perkara perlu diberi perhatian dalam usaha mengangkat pidato sebagai seni dan kemahiran yang kritikal dan penting.
“Pertama, pidato adalah pentas untuk perkongsian bagi menzahirkan cita-cita dan mimpi besar untuk bangsa dan negara.
“Yang kedua, pidato adalah peluang mahasiswa melantun suara di samping berkongsi idea serta yang terakhirpidato adalah sebahagian usaha dalam melahirkan generasi intelektual yang berfikiran kritikal dan matang,” ujarnya pada Majlis Perasmian Penutup dan Pertandingan Akhir Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu (PKBM), Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 (Edisi Pertama) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Khamis.
Sementara itu, PKBM Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 yang julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan mutu Bahasa Melayu seiring dengan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu yang dilancarkan Mohamed Khaled Jun lalu.
Pertandingan itu juga merupakan satu daripada Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang mana mereka diberi mandat penuh menguruskan keseluruhan pelaksanaan program dari awal hingga akhir dengan jayanya.
Dalam pada itu, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah telah diumumkan johan dalam Pertandingan Akhir PKBM Edisi Pertama tersebut.
Naib Johan pula dimenangi penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ivanatasha Abdul Majid manakala tempat ketiga diberikan kepada mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Haura’ Faris.