Platform terbaik buat generasi muda
Dua bekas pelatih kongsi pengalaman berharga dalam Program Latihan Khidmat Negara
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula dilaksanakan pada 16 Februari 2004, mewujudkan satu matlamat baharu dalam membina dan mengukuhkan semangat patriotisme khususnya buat generasi muda.
Bukan itu sahaja, kewujudan program tersebut mampu memupuk semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional, selain membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang ia dijalankan.
Namun, PLKN dimansuhkan pada tahun 2018 dan baru-baru ini, kerajaan memperkenalkan semula program berkenaan dengan format baharu selaras Akta Latihan Khidmat Negara 2004 (Akta 628).
Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi pengalaman bekas pelatih PLKN agar dapat menyuntik semangat buat adik-adik yang bakal terpilih mengikuti program itu bermula tahun 2025.
Jom kita lihat.
Badrul Amin Badrul Hisham
Menurut bekas pelatih PLKN 2016, Badrul Amin Badrul Hisham, 25, kenangan menyertai program khidmat negara amat berharga dan tidak akan dapat dinikmati di mana-mana tempat sekalipun.
Mana tidaknya, dia dan pelatih lain bukan sahaja menikmati pengalaman seperti berada dalam latihan ketenteraan tetapi turut diterapkan dengan semangat kerjasama serta setiakawan tanpa mengira usia, bangsa atau agama.
“Setelah menyertai PLKN itu, baru saya sedar objektif sebenar ia diadakan untuk mencapai kejayaan bersama walaupun berbeza usia, agama dan bangsa.
“Alhamdulillah, saya juga diberi peluang mengetuai kumpulan yang diberi nama Delta dan berjaya membawa kumpulan itu menerima anugerah sebagai pasukan terbaik bagi siri 13/2016,” •ujar Badrul Amin yang kini bekerja sebagai model.
Lebih mengejutkan katanya, di awal kemasukan bagi siri itu, kebanyakan pelatih mengeluh dan ingin cepat pulang tetapi akhirnya mereka mula berasa sedih kerana perlu berpisah setelah berbulan menghabiskan masa bersama.
Amira Faieza Nor Rani
Bekas pelatih PLKN tahun 2014, Amira Faieza Nor Rani mengakui pernah berasa kurang senang apabila ditempatkan di sebuah kem kawasan pedalaman.
Bagaimanapun katanya, perasaan itu menghilang apabila dia mula mengenali peserta yang menjalani latihan bersama-samanya.
“Pada hari pertama tiba di kem itu, saya agak sedih sebab terpaksa berjauhan dengan keluarga.
“Tetapi siapa sangka, lama-kelamaan saya semakin mengenali pelatih lain dan keakraban kami lebih utuh dalam menempuh hari-hari selama tiga bulan,” katanya.
Bercerita pengalamannya di PLKN, Amira Faieza yang kini bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta memberitahu, dia pernah kendalikan senjata M16.
“Pengalaman memegang M16 untuk belajar menembak adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Walaupun (M16) berat tetapi saya bangga kerana memikirkan betapa gagahnya pasukan tentera kita membawa dan mengangkat senjata tersebut ketika bertempur atau dalam latihan,” katanya.
Amira Faieza, 27, berkata, tiada istilah rugi sekiranya terpilih menyertai PLKN, malah peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman yang tiada di luar.
Tambahnya, ilmu dalam PLKN itu mendidik dan mendisiplinkan diri agar menjadi individu bermoral tinggi kelak.