Penyampaian anugerah di Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024.
Penyampaian anugerah di Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024.

Monash University Malaysia menang dua anugerah di Pertandingan Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024

11 Sep 2024 12:00pm
A
A
A

Kumpulan Koloid dan Polimer diketuai oleh Dr Patrick Tang Siah Ying dari Fakulti Kejuruteraan Monash University Malaysia berjaya mencapai kecemerlangan di Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024, baru-baru ini.

Kumpulan itu meraih dua anugerah berprestij iaitu Pingat Emas sempena penyertaan terbaik dalam kategori Alam Sekitar dan Sumber Asli, serta Anugerah Khas untuk Inovasi Kompetitif merentasi semua kategori.

Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan merupakan program pengiktirafan yang menonjolkan inovasi, usaha penyelidikan dan pembangunan luar biasa di Malaysia berkaitan kemajuan aplikasi sains serta teknologi nuklear.

Penyelidikan yang memenangi anugerah itu adalah berkenaan penghasilan komposit getah bebas plumbum, fleksibel, ringan dan berfungsi sebagai bahan perlindungan radiasi lestari.

Bahan inovasi itu mempunyai aplikasi penting dalam peralatan perlindungan peribadi (PPE) radiologi perubatan dan berpotensi merevolusikan masa depan bahan elastomer tahan radiasi yang lestari dalam pelbagai bidang teknologi seperti penjagaan kesihatan, industri berat, aeroangkasa, serta perubatan nuklear.

Patrick yang juga merangkap pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Kimia berkata, pencapaian luar biasa ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan sokongan daripada rakan kongsi kami di Sunway University, University Kuala Lumpur (UniKL) Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (MICET), serta Agensi Nuklear Malaysia.

"Ia adalah pencapaian yang luar biasa bagi penyeliaan dan kolaborasi rentas disiplin, kami berharap ia menjadi inspirasi kepada pelajar serta penyelidik lain.

“Kami berdedikasi untuk memperluas sempadan penyelidikan sains nuklear, dengan matlamat memacu inovasi dalam industri getah negara,” kata beliau.

Sehubungan itu, Patrick memberi penghargaan kepada ahli pasukan penyelidikannya, termasuk pelajar Projek Tahun Akhir (FYP) Alphonsus Tan atas sumbangannya yang cemerlang, dan ahli pasukan penyeliaan Profesor Goh Bey Hing dari Sunway University, Dr Fahmi Asyadi Md Yusof dan Profesor Madya Ong Siew Kooi dari UniKL MICET, Dr Janarthanan Supramaniam, Norshafarina Ismail, serta pelajar PhD Darren Low dan How Sher Wei.

Pengiktirafan itu bukan sahaja menonjolkan komitmen Monash University Malaysia dalam memajukan kecemerlangan penyelidikan tetapi juga menekankan usaha kolaboratif antara institusi akademik dan organisasi penyelidikan untuk memacu impak positif dalam bidang sains serta teknologi nuklear.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok