Antara kenyataan yang pernah dikeluarkan MPP UiTM sebelum ini.
Antara kenyataan yang pernah dikeluarkan MPP UiTM sebelum ini.

MPP UiTM mohon maaf, akui kempen #MahasiswaUiTMBantah satu kekhilafan

NURHIDAYAH HAIROMNURHIDAYAH HAIROM
23 May 2024 11:19am

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon maaf secara terbuka berhubung pelaksanaan kempen #MahasiswaUiTMBantah yang digerakkan baru-baru ini kerana menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada umum.

MPP UiTM mengakui tidak menerangkan kronologi kes yang sebenar dan gagal mengolah pemakluman penuh yang lebih jelas.

Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut adalah satu kekhilafan dan menjadi pengajaran kepada mereka.

"Setelah diteliti, kami mengakui bahawa kenyataan yang telah dikeluarkan pada 14 Mei 2024 baru-baru ini adalah sedikit mengelirukan apabila kami tidak menerangkan aspek kronologi kes yang sebenar.

"Tambahan pula, interpretasi perkara 153 juga kami tidak jelaskan dengan sebaiknya menyebabkan timbul salah faham kepada umum.

"Sesungguhnya perkara ini adalah di luar jangkaan kami dan kami menerima perkara ini sebagai satu pengajaran dalam mengolah pemakluman penuh melalui kenyataan yang lebih jelas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, selaku wakil pelajar, mereka mengambil maklum berkenaan dengan isu 3R (kaum, agama, raja) yang sensitif tidak patut ditimbulkan dan penting untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan hubungan bersama mahasiswa walaupun melalui medium maya.

"Lantaran perkara yang telah berlaku, keharmonian tersebut telah terganggu kerana kaedah penyampaian yang kurang jelas dan tidak sejajar dengan niat asal pelaksanaan kempen ini berikutan pemahaman konteks yang tidak sehaluan melalui pembacaan.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka.

"Pandangan dan maklum balas yang diterima sangat penting bagi kami dalam menjernihkan isu ini dengan baik," katanya.

Pada 14 Mei lalui, berlaku protes dalam kalangan pelajar UiTM terhadap idea membuka sementara kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) itu kepada tujuh pegawai perubatan bukan bumiputera bagi melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat pakar dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

Pelajar terbabit juga lengkap berpakaian hitam sebagai tanda menyokong gesaan MPP UiTM dalam kempen #MahasiswaUiTMBantah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp