
MPP UPM lakar sejarah, wakili Malaysia ke ISLMS2025 di Hungary
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta kebanggaan buat universiti dan negara apabila berjaya mewakili Malaysia dalam The 3rd International Student Leaders Meeting on Sustainability 2025 (ISLMS2025) di University of Szeged, Hungary baru-baru ini.
Mereka yang terlibat terdiri daripada Yang Dipertua MPP, Umar Akhtar Ab Malek dari Fakulti Pertanian; Timbalan Naib Yang Dipertua (Akademik dan Keusahawanan), Easwaran Vasudavan (Fakulti Sains); Sekretariat Kesenian dan Warisan Kebudayaan, Nur Shafinaz Kaus Abdul Aziz (Sekolah Perniagaan dan Ekonomi) serta Nur Annisaa Shaiful Naim (Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar).
Menurut Umar Akhtar, penyertaan beberapa ahli MPP UPM dalam ISLMS2025 adalah peluang terbaik untuk mereka berkongsi inisiatif kelestarian kampus dan memperluas jaringan antarabangsa serta mempelajari amalan kelestarian dari negara lain.
Katanya, penyertaan tersebut secara tidak langsung menyokong fokus UPM untuk mencapai kesohoran global sejajar dengan teras True Northuniversiti.
Easwaran pula berkata, persidangan tersebut membuka ruang pertukaran idea dan memberi peluang kepada delegasi UPM untuk merangka pelan tindakan mampan bersama pelajar dari pelbagai negara.

Manakala Nur Shafinaz Kaus memaklumkan, pengalaman yang diraih telah memberi inspirasi kepada dirinya untuk memperkasa budaya kelestarian dalam kalangan pelajar UPM.
Ujarnya, dia melihat potensi besar untuk melibatkan lebih ramai pelajar dalam kempen dan projek kelestarian.
"Ini merupakan langkah penting untuk menjadikan UPM sebagai pusat kepimpinan kelestarian yang memberi impak positif kepada masyarakat global," jelasnya.
Terdahulu, ISLMS2025 yang bertemakan Challenges and Pathways to a Sustainable Future menghimpunkan pemimpin pelajar dari universiti seluruh dunia yang tersenarai dalam UI GreenMetric World University Rankings.
Persidangan yang dianjurkan UI GreenMetric Office itu dirasmikan oleh Naib Rektor University of Szeged, Profesor Dr Zoltan Konya; Pengerusi UI GreenMetric, Profesor Dr Riri Fitri Sari dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah University of Szeged, Profesor Dr Gabor Szabo.