Masjid UPM dijadikan lokasi bagi penganjuran program Kerohanian Bina Insan Madani 2025.
Masjid UPM dijadikan lokasi bagi penganjuran program Kerohanian Bina Insan Madani 2025.

4,000 peserta bakal gegarkan Masjid UPM dalam Qiyamullail Mega 2025!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
10 Apr 2025 05:10pm

Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan program Kerohanian Bina Insan Madani 2025 yang dijangka akan disertai seramai 4,000 peserta.

Program yang bertujuan untuk memupuk nilai-nilai murni dan melahirkan insan Madani cemerlang ini akan berlangsung di Masjid UPM, Serdang, Selangor pada 12 April ini.

Selain pelajar dan staf UPM, orang awam turut dijemput untuk memeriahkan program berkenaan dan menyertai peserta yang terdiri daripada komuniti sekitar.

Dengan tema Membina Insan Madani', program itu menawarkan pelbagai aktiviti kerohanian yang memberi peluang kepada peserta untuk memperbaiki dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Salah satu acara utama dalam program tersebut adalah Qiyamullail Mega yang akan dilaksanakan pada jam 4 pagi.

Acara ini akan diikuti dengan solat Subuh dan tazkirah Subuh yang bertujuan memperkukuhkan semangat rohani para peserta.

Terdapat juga forum bertajuk 'Keperibadian Madani Penyatu Ummah’ yang akan disampaikan dua tokoh berwibawa iaitu Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Ahli Sekretariat Duat Al-Falah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah.

Para peserta berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar keilmuan Islam untuk menjawab segala kemusykilan agama.

Artikel Berkaitan:

Majlis perasmian penutup program dijangka akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Sri Fadillah Yusof.

Difahamkan, program ini bukan hanya tertumpu di kampus Serdang sahaja sebaliknya turut berlangsung di UPM Kampus Bintulu, Sarawak, yang menjadi lokasi kedua untuk sesi kerohanian dan perbincangan.

Program Kerohanian Bina Insan Madani 2025 dianjurkan oleh Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu dan Kolej 12, UPM Serdang dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp