MPPK pertahankan UiTM sebagai pusat pendidikan Bumiputera
Baru-baru ini, timbul isu cadangan membenarkan program latihan ijazah lanjutan kepakaran (parallel pathway) kepada bukan Bumiputera di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan kebimbangan terutamanya dalam kalangan mahasiswa di universiti tersebut.
Susulan isu tular berkenaan, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) tampil mengeluarkan kenyataan media pada Isnin, dengan memaklumkan mereka berpegang teguh supaya UiTM kekal kepada status quo dan berpaksikan objektif asal iaitu membantu kaum Bumiputera dalam meningkatkan taraf pendidikan.
MPPK menerusi Timbalan Presidennya, Mohamed Yusuf Hassan Roslan menjelaskan, pendirian tegas itu diambil memandangkan universiti tersebut adalah hanya satu-satunya khazanah pendidikan Bumiputera yang ada.
“Umum diketahui, UiTM ditubuhkan menurut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Bukan itu sahaja, bahkan perkara ini telah pun termaktub di dalam Fasal 1A Akta 173.
“Sebarang cadangan atau pandangan sebaliknya, dilihat cuba membelakangi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang utama dalam sistem perundangan dan tadbir urus negara,” ujarnya yang juga Mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM se-Malaysia Sesi 2022/2023.
Kata Mohamed Yusuf, walaupun mereka (MPPK) dibarisi oleh Wakil Pemimpin Universiti pelbagai latar belakang tempat pengajian, namun MPPK tetap teguh pertahankan UiTM atas peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan.