Nahas pelajar UiTM: Ammar Danish dilaporkan stabil
Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan yang cedera dalam kemalangan meragut nyawa tiga rakannya di hadapan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Rabu lalu, dilaporkan stabil.
Status pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berusia 20 tahun itu yang kini dirawat di Hospital Dungun, Terengganu, dimaklumkan Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Terengganu menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.
“Menerusi keterangan pegawai perubatan yang merawat pelajar ini, dia didapati dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan serius.
“Rawatan dan jahitan luka seluruh badan telah diberikan dengan pelajar ini ditempatkan di wad untuk pemantauan hingga keadaannya pulih,” menurut kenyataan itu.
Ammar Danish dari Keramat, Kuala Lumpur ditemani ibu bapanya sewaktu menerima lawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi dan Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Dr Mazidah Puteh pada 11.20 pagi.
Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, Ammar Danish dan tiga rakannya Ku Adib Aizat Ku Azmi, 20; Khairil Anwar Jamaludin, 20, dan Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25, dirempuh dari belakang oleh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita berusia 49 tahun di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun sewaktu menaiki motosikal untuk pulang ke kampus mereka.
Rempuhan itu mengakibatkan Ku Adib Aizat dan Khairil Anwar masing-masing dari Sungai Buloh dan Ampang, Selangor serta Muhammad Akhmal dari Muar, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah tulang leher, cedera di kepada dan dada.
Mayat kesemua pelajar itu telah dituntut keluarga masing-masing selepas bedah siasat selesai dilakukan Unit Foresnik Hospital Dungun.