Md Amin (dua dari kiri) bersama ahli keluarga arwah Nur Farah Kartini, baru-baru ini.
Md Amin (dua dari kiri) bersama ahli keluarga arwah Nur Farah Kartini, baru-baru ini.

Naib Canselor UPSI ziarah keluarga arwah Nur Farah Kartini

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Aug 2024 12:18pm
A
A
A

“Insya-ALLAH kami akan terus membantu keluarga arwah sehingga semua urusan dapat diselesaikan dengan baik.

“Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kasih sayang dan kekeluargaan adalah amalan segenap warga...”

Itu catatan pendek Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam Facebook peribadinya, pada Selasa.

Hantaran beliau ditulis ketika sesi menziarahi keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dijumpai meninggal dunia di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, Selangor, baru-baru ini.

Nur Farah Kartini merupakan graduan pintar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) Dengan Kepujian di mana pernah meraih Purata Gred Nilai (GPA) 4.0 dalam peperiksaan yang didudukinya pada Semester 2 Sesi 2022/2023.

Menurut Md Amin, kunjungan beliau ke rumah keluarga Allahyarham adalah secara kebetulan apabila dia berada di Sarawak pada ketika itu.

“Seraya berada di Miri, Sarawak, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi bonda dan nenda arwah Farah Kartini. Rumah mereka betul-betul di tengah bandar Miri, di Kampung Lereng Bukit.

“Kehadiran kami disambut mesra oleh bonda, nenda dan abang arwah. Kesemua mereka tenang dengan dugaan yang dihadapi dan berdoa agar arwah sentiasa mendapat rahmat ALLAH SWT.

“Sempat kami dijamu dengan goreng pisang dari pokok yang ditanam di sebelah rumah mereka. Inilah budi bahasa orang kita, merai tetamu walau sesibuk mana jua,” tulis Md Amin.

Membaca di ruangan komen di Facebook beliau, rata-rata warga maya kagum dengan sikap Md Amin yang sanggup meluangkan masa bertemu dengan ahli keluarga arwah.

“Susah nak jumpa Dato VC camni, bangga menjadi alumni UPSI.” - Saiful Nizam

“Kepimpinan melalui teladan. Terbaik Datuk.” - Man Daud

“Alhamdulillah. NC yang sangat prihatin dan ambil peduli. Semoga dipermudah segala urusan keluarga adik Farah. Aminnn.” - Gunting Hitam

“Alhamdulillah terbaik Dato'. Berbudi selagi nyawa dikandung badan.” - Muslimin Wallang

“Saya merupakan alumni UPSI, sekarang bekerja di Miri. Selamat datang ke Miri kepada Dr dan rakan seperjuangan. Semoga niat baik Dr menziarahi keluarga arwah dapat memberi sedikit kekuatan dan ketabahan kepada mereka. Al-Fatihah (dibaca) kepada adik Nur Farah Kartini.” - Nurul Syuhada

“UPSI dan masyarakat berpisah tiada.” - Naqiuddin A Hayum

“Seorang pemimpin yang hebat. Tahniah Dato.” - Ezzad Ghuzlan

“Terima kasih banyak-banyak Dato' di atas ziarah ini. Tanda ingatan dari NC, tanda kasih berpanjangan.” - Abdul Ghani Mansor

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok