Massila (tengah) menerima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET) daripada Mustapha (dua dari kiri).
Massila (tengah) menerima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET) daripada Mustapha (dua dari kiri).

Naib Canselor UTeM terima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia

23 Aug 2024 05:21pm
A
A
A

Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin menerima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia di majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2024, Khamis lalu.

META 2024 adalah pengiktirafan berprestij anjuran Education + TVET Asia Publications bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan dan TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud kepada beliau di salah sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir Dr Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Dengan penganugerahan di META 2024, Massila telah menerima sebuah trofi dan sijil penganugerahan atas kejayaan yang telah dicapai.

UTeM dalam satu kenyataannya berkata, kejayaan ini menzahirkan keberhasilan corak daya kepimpinan strategik dan berimpak tinggi Massila memimpin UTeM dan Malaysia dalam menjulang TVET negara.

“Usaha beliau telah membangunkan Pelan Strategik UTeM 2023-2025 mengandungi 5 Teras Strategik di mana teras yang pertama adalah berfokuskan kepada Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya.

“Menerusi kepimpinannya, UTeM terus menempa pelbagai kejayaan dalam konteks pendidikan TVET termasuklah lonjakan peningkatan kadar kebolehpasaran graduan UTeM yang menjadi pilihan utama majikan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok