Pasangan kembar dari Kudat, Sharifah Sakirah dan adiknya Sharifah Sahirah turut disambut oleh Kasim (kanan) ketika kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026.
Pasangan kembar dari Kudat, Sharifah Sakirah dan adiknya Sharifah Sahirah turut disambut oleh Kasim (kanan) ketika kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026.

Pasangan kembar jadi perhatian warga UMSKAL

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
29 Sep 2025 02:30pm

Kehadiran pasangan kembar yang mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mencuri perhatian warga kampus ketika menerima pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026 pada Ahad.

Lebih istimewa, pasangan kembar dari Kudat, Sharifah Sakirah Azlan dan adiknya, Sharifah Sahirah turut disambut oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Pasangan berusia 20 tahun itu menempuh perjalanan hampir sehari merentas darat dan laut dari Menumbok ke Labuan sebelum tiba di kampus.

Meskipun kembar, kedua-duanya memilih bidang pengajian berbeza namun sama-sama menjadikan UMSKAL sebagai destinasi awal perjalanan akademik mereka.

Sharifah Sakirah memilih program Pemasaran Antarabangsa kerana yakin prospek kerjayanya luas dalam sektor perniagaan global manakala Sharifah Sahirah pula mengikuti program Teknologi Maklumat (Teknologi Multimedia) yang menurutnya relevan dengan perkembangan pesat industri digital.

Sebelum itu, mereka berdua turut berkongsi pengalaman perjalanan dari Kota Kinabalu dengan dihantar sepupu ke Menumbok sebelum menaiki bot laju ke Labuan.

Mereka kemudian disambut di Terminal Feri Labuan dan dibawa ke kampus menaiki bas.

Sementara itu, Kasim menzahirkan rasa bangga dengan semangat pelajar baharu khususnya pasangan kembar berkenaan yang sanggup merantau demi menuntut ilmu.

Artikel Berkaitan:

"Kehadiran pelajar kembar ini melambangkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan di UMS.

"Walaupun mereka datang bersama sebagai pasangan kembar, setiap seorang mempunyai peluang untuk menyerlah dalam bidang masing-masing," ujarnya.

Turut hadir meraikan kehadiran pelajar baharu ialah Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal; Ketua Pentadbiran UMSKAL, Sharifah Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Psikologi merangkap Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Nur Iman Reedzal.

Juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Azmi Jumat; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMS, Dr Rizal Zamani Idris dan Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Ketua Pentadbiran Fakulti Komputeran, Molly Donna Awang Sham.

Setakat ini, seramai 331 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan 112 pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) telah mendaftar dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang penutupan pendaftaran pada Isnin.

Kehadiran pasangan kembar menjadi simbolik kepada keunikan pengambilan pelajar UMS tahun ini sekali gus mencerminkan kepelbagaian serta komitmen universiti dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua.

Ringkasan AI

  • Kehadiran pasangan kembar mahasiswa baharu di UMSKAL tarik perhatian
  • Mereka dari Kudat dan melakukan perjalanan hampir sehari dari Menumbok ke Labuan
  • Pasangan ini memilih bidang pengajian berbeza; Pemasaran Antarabangsa dan Teknologi Maklumat
  • Disambut oleh Naib Canselor UMS dan diangkut dari Terminal Feri Labuan ke kampus
  • Menjadi simbol keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan di UMS
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp