Pasangan kembar, Syahirah Afifah dan Syahirah Afiqah diumum penerima Anugerah Pengarah dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025.
Pasangan kembar, Syahirah Afifah dan Syahirah Afiqah diumum penerima Anugerah Pengarah dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025.

Pasangan kembar kongsi resipi kejayaan rangkul Anugerah Pengarah!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Sep 2025 02:19pm

Detik konvokesyen tahun ini menjadi lebih bermakna apabila bukan seorang, tetapi dua pasangan kembar diumum sebagai penerima Anugerah Pengarah pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Dewan Permata Marjan, Politeknik Mersing baru-baru ini.

Pasangan kembar dari Kolej Komuniti (KK) Bandar Penawar iaitu Syahirah Afifah Rohaizat dan Syahirah Afiqah Rohaizat, masing-masing berusia 21 tahun, mengakui pencapaian itu bukan diraih dengan mudah.

Menurut mereka, ketika mula mendaftar di kolej, kedua-duanya tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang Teknologi Maklumat iaitu kursus pengajian yang dipilih.

"Kami perlu berusaha lebih gigih dengan memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.

"Dalam masa sama, kami menjadikan YouTube dan Google sebagai rujukan tambahan selain mendapatkan bimbingan pensyarah kelas,” ujar mereka berkongsi pengalaman.

Anak keempat dan kelima daripada sembilan beradik itu turut menambah, perjuangan mereka penuh dengan cabaran kerana sering berdepan kesukaran memahami topik tertentu.

"Kami sangat struggle untuk memahami sesuatu topik. Namun, cabaran itu kami jadikan sebagai pembakar semangat, ditambah pula dengan sokongan para pensyarah yang sentiasa memberi dorongan.

Artikel Berkaitan:

Pasangan kembar dari KK Segamat 2, Nur Alia Muyassarah dan Nur Alia Najiah
Pasangan kembar dari KK Segamat 2, Nur Alia Muyassarah dan Nur Alia Najiah

"Pada masa sama, kami turut mendapatkan tunjuk ajar senior serta memanfaatkan aplikasi ChatGPT bagi membantu memahami topik yang sukar," kata kedua-duanya. 

Sementara itu, pasangan kembar dari KK Segamat 2 iaitu Nur Alia Muyassarah Mohd Zafizal dan Nur Alia Najiah Mohd Zafizal, turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengarah.

Berusia 21 tahun dan berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, kedua-duanya menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

"Pencapaian ini sememangnya mengejutkan dan rahsia kami adalah fokus sepenuhnya ketika dalam kelas, catat segala penerangan pensyarah dan paling penting jangan sesekali tinggalkan solat," kongsi graduan kembar ini.  

Kisah mereka wajar dijadikan inspirasi kepada para pelajar lain bahawa ilmu boleh dicapai dengan tekad dan kerja keras serta pentingnya seimbang antara akademik, doa dan sokongan komuniti. 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp