Pasukan Debat Bahasa Arab USIM muncul johan kategori Bukan Penutur Asli pada Kejohanan Debat Arab Asia ke-2, baru-baru ini.
Pasukan Debat Bahasa Arab USIM muncul johan kategori Bukan Penutur Asli pada Kejohanan Debat Arab Asia ke-2, baru-baru ini.

Pasukan Debat Bahasa Arab USIM cipta kejayaan luar biasa di Oman

ROSHLAWATY MD RAIEH
08 Feb 2023 05:20pm
A
A
A

Pasukan Debat Bahasa Arab, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul johan kategori Bukan Penutur Asli pada Kejohanan Debat Arab Asia ke-2 di Oman Convention and Exhibitions Center (OCEC), Muscat, Oman, baru-baru ini.

Kejayaan itu hasil kerja keras empat mahasiswa yang cukup hebat iaitu Muhammad Afiq Arsyad Awang @ Tarmizi, Maisarah Ahmad Azmi, Haafizah Mohd Rosli dan Nur Rasyiqah Unigkutti.

Selain muncul johan, pasukan ini juga melakar kecemerlangan tersendiri apabila dua ahlinya Muhammad Afiq dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta Maisarah (Fakulti Syariah dan Undang-Undang) masing-masing tersenarai dua teratas dan lima teratas Pendebat Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan tersebut.

Wah, memang hebat ahli-ahlinya. Sinar Bestari salute!

Menurut Jurulatih Pasukan, Ahmad Norsyafwan Norawavi, kemenangan Pasukan Debat Bahasa Arab itu adalah hasil usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh semua ahli.

Malah, kejayaan ini juga datang daripada kerjasama pelbagai pihak antaranya sokongan pengurusan universiti terutama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Adnan Mohd Yusoff dan barisan alumni pendebat USIM.

No Image Caption

Sambung Ahmad Norsyafwan, komitmen tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan empat pendebat USIM begitu mengagumkan dirinya.

Artikel Berkaitan:

“Ketika sesi latihan diadakan, mereka dalam persediaan mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan akhir.

“Bagaimanapun, demi USIM, mereka sanggup bersengkang mata dan tetap menjalani latihan seperti biasa.

“Hasilnya, mereka muncul johan kategori Bukan Penutur Asli, alhamdulillah,” ujarnya yang merangkap Guru Bahasa, Pusat Pengajian Teras USIM.

Kejohanan Debat Arab Asia ke-2 menyaksikan seramai 320 peserta (42 pasukan) dari 18 buah negara bertanding bagi merebut gelaran juara.

Negara-negara tersebut terdiri daripada Qatar, Oman, Australia, Azerbaijan, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Malaysia, Pakistan, Palestin, Arab Saudi, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Yaman.

Sinar Bestari mengucapkan tahniah dan semoga pasukan ini akan terus bersinar serta mencipta kegemilangan pada masa akan datang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok