USIM terjah Kampung Orang Asli Bukit Kepong
Seramai 30 ahli Sekreteriat Kesukarelawanan Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (SKM USIM) menyertai Program Semarak Siswa Madani di Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Program anjuran SKM USIM yang mendapat tajaan kewangan dari Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM (PHEP USIM) serta Pusat Wakaf dan Zakat USIM (PWZ USIM) telah berlangsung dengan baik sekali gus mendapat maklum balas positif dalam kalangan komuniti.
Presiden SKM USIM, Muhammad Nor Syamrin Ezamudin berkata, Semarak Siswa Madani bertujuan memberi pelbagai pendedahan kepada mahasiswa antaranya berinteraksi, mengenali dan memahami kehidupan masyarakat Orang Asli di sini.
Manakala peserta program, Syarifah Nurnabilah Sayed Shaikh berkata, dia teruja menyertai program yang disifatkan cukup bermanfaat kepada dirinya.
Ujarnya, Semarak Siswa Madani telah mengubah persepsinya terhadap Orang Asli.
“Banyak pengalaman yang saya dan rakan-rakan timba sepanjang menjadi sukarelawan dalam program berkenaan.
"Jika diberi peluang kelak, saya tidak akan teragak-agak untuk mengikutinya lagi,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Nor Syamrin berkata, Semarak Siswa Madani telah membuka mata golongan muda terutama mahasiswa untuk menceburi aktiviti sukarelawan.
“Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat memberi pengetahuan dan pengalaman berharga tetapi juga ia dapat mengasah kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ seseorang terutamanya dalam kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama.
“Justeru, besar harapan saya agar ramai anak-anak muda mahu melibatkan diri dalam program sukarelawan seperti ini pada masa depan,” tuturnya.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Penulisan Berita, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Hafiz Abdul Jalil
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my