Minat terhadap bahasa Melayu membolehkan Pearl Insyirah raih Anugerah Hadiah Buku Perdana Menteri
Minat terhadap bahasa Melayu membolehkan Pearl Insyirah raih Anugerah Hadiah Buku Perdana Menteri

Pearl Insyirah rangkul Anugerah Hadiah Buku Perdana Menteri

05 Sep 2024 04:05pm

SINGAPURA: Mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Pearl Insyirah Mohd Mubbin tidak menyangka, minatnya mempelajari bahasa Melayu membawa tuah apabila diumum penerima Anugerah Hadiah Buku Perdana Menteri (PMBP) dalam Majlis Anugerah Khas MOE 2024.

Walaupun masih terkejut dengan penghargaan yang diberikan, namun Pearl Insyirah sangat gembira dan berharap impian menjadi guru bahasa Melayu menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Memetik perkongsian BERITA Mediacorp/FA/fa, Pearl Insyirah berkata, minat terhadap bahasa Melayu bermula ketika dia masih kecil.

"Setiap minggu, ibu membawa saya ke perpustakaan dan dari sini, saya mula ‘jatuh cinta’ dengan bahasa itu dan Inggeris,” ujarnya.

Buat masa ini, Pearl Insyirah dipilih menyertai Program Penyelidikan Kemanusiaan dan Sains Kemasyarakatan di NUS.

Melalui pemilihan tersebut, dia akan menjalankan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada karya-karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramle.

Sebagai lulusan dalam bahasa Melayu, Pearl Insyirah berhasrat mahu menulis dan memberi ulasan filem serta berkongsi karya-karya tempatan di Singapura kepada umum.

Malah, gadis muda ini juga memasang impian ingin menyertai pelbagai program dan bengkel di bawah Bulan Bahasa bagi meningkatkan lagi pengetahuannya dalam bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Majlis Anugerah Khas MOE 2024 meraikan 199 pelajar cemerlang daripada 89 institusi pendidikan di Singapura.

Mereka menerima anugerah mengikuti kategori masing-masing seperti Anugerah Lee Kuan Yew bagi Kecemerlangan dalam Pelbagai Bidang, Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian dan PMBP.

Anugerah kecemerlangan disampaikan Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing di di Pusat Budaya NUS.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp