
Pegawai Kadet ALK-UPNM harumkan nama Malaysia di United Kingdom!
Nama Malaysia kembali terpahat di pentas antarabangsa apabila Pegawai Kadet, Muhammad As'ad Natamuddin berjaya menamatkan latihan ketenteraan di salah sebuah institusi ketenteraan paling berprestij di dunia iaitu Royal Air Force College Cranwell, United Kingdom.
Menerusi hantaran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Facebook, pelajar Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) telah mengikuti kursus Modular Initial Officer Training Course No 33 yang berlangsung dari 2 September 2024 hingga 3 April 2025.
Sepanjang tempoh latihan, beliau telah menjalani pelbagai modul yang menguji ketahanan mental, fizikal dan kepimpinan dalam menghadapi cabaran di dunia ketenteraan yang penuh dinamik.
"Walaupun berbeza persekitaran dan budaya, dengan dedikasi dan semangat juang yang tinggi, beliau telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang sesuai keperluan TUDM dalam usaha melahirkan pegawai yang berkualiti,” tulis hantaran itu pada Rabu.

Sambung perkongsian tersebut, kejayaan Muhammad As'ad bukan sahaja satu pencapaian luar biasa untuk dirinya, tetapi juga buat TUDM dan seluruh rakyat Malaysia.
"Panglima Tentera Udara bersama seluruh warga TUDM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian yang diraih.
"Dengan berakhirnya latihan ini, bermulalah satu lagi lembaran perjalanan dalam kerjaya ketenteraan beliau.
"Semoga dengan ilmu dan pengalaman yang diperoleh di Royal Air Force College Cranwell akan terus memberi impak positif kepada kecemerlangan dan pembangunan TUDM pada masa akan datang," catat Facebook berkenaan.


