
SK Temonyong harumkan nama Malaysia di persada dunia melalui video pendidikan lestari
Sekolah Kebangsaan (SK) Temonyong, Langkawi, Kedah mengukir kejayaan membanggakan apabila terpilih menghasilkan video pendidikan lestari mewakili rantau Asia Tenggara.
Pemilihan itu bukan sekadar satu penghormatan sebaliknya ia membuktikan bahawa sekolah di sebuah pulau kecil di utara Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa, seiring dengan sekolah-sekolah dari serata dunia.
Di fahamkan, video berdurasi lima minit tersebut akan dipaparkan di laman rasmi Foundation for Environmental Education (FEE) dan memaparkan pelbagai inisiatif kelestarian yang telah dijayakan oleh warga sekolah.
Antara usaha yang diketengahkan termasuklah projek penternakan kelulut, laman padi, kompos sisa makanan dan taman sihat.
Guru Penyelaras Projek, Cikgu Gurpreet Kaur berkata, pemilihan SK Temonyong sebagai wakil tunggal Asia Tenggara adalah satu pengiktirafan besar buat sekolah mereka.
Katanya, SK Temonyong yang berasal dari pulau kecil di utara Malaysia mampu mengharumkan nama negara di peringkat global menerusi inisiatif pendidikan lestari.
Terdahulu, video dibangunkan mereka bertujuan menjadi alat pemasaran untuk menerangkan tujuh langkah dalam program Green Flag, dengan SK Temonyong diberikan tanggungjawab utama merakam langkah ketujuh iaitu Kod Eko (Eco-Code).
Kod Eko adalah antara elemen utama dalam program Eco-Schools di bawah FEE yang menggambarkan usaha sekolah dalam kelestarian alam sekitar.
Pihak sekolah memberi tumpuan kepada lukisan mural, logo dan lagu bertajuk Pulau Ku Sayang ciptaan Izal Herman Jamaludin dalam bahasa Melayu sebagai peluang mempamerkan bahasa dan budaya di peringkat global.