Pelajar KV Keningau dinobat penulis artikel bahasa Inggeris terbaik
Pelajar tahun tiga jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Azzulfa Haryani Mohd Azri telah menerima anugerah penulis terbaik dari Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI) Pacitan, Indonesia, baru-baru ini.
Artikel editorial penulisan Azzulfa bertajuk “Nip It in the Bud” telah diterbitkan di majalah digital E-Magz edisi Jun 2024 keluaran kolej tersebut.
Ia dipilih sebagai artikel terbaik kerana berjaya mengupas topik penting iaitu isu buli dalam kalangan pelajar sekolah sekali gus menepati tema majalah tersebut untuk edisi Jun iaitu hari perlindungan kanak-kanak sedunia.
Artikel itu mengulas isu buli kian menular di sekolah dan menyifatkan media sosial sebagai satu faktor utama perbuatan ini menjadi gejala yang merisaukan ramai pihak.
Pendapat Azzulfa menyatakan media sosial menjadi satu saluran disalahgunakan oleh ramai pengguna internet untuk mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan yang kadangkala ditujukan khas kepada individu tertentu tanpa rasa bersalah atau segan silu.
Penulis muda itu menyokong hujahnya dengan mengambil contoh satu kes buli melibatkan beberapa remaja sebuah sekolah di negara ini yang telah mendapat liputan luas media massa.
Azzulfa berasa teruja mendapat anugerah penulis terbaik kerana dia telah mula bergiat aktif dalam bidang kewartawanan dan penulisan sejak tahun lepas.
Dia juga telah berjaya menerbitkan artikel rencana hasil karyanya di majalah Breeze iaitu majalah perlancongan dan perniagaan yang berpangkal di Sabah pada bulan Mei 2024.
Pengarah KV Keningau, Nordin Akup, mengucapkan tahniah kepada Azzulfa atas penghargaan tersebut dan beliau berharap kejayaan ini dapat menjadi galakan kepada pelajar-pelajar lain untuk meningkatkan kemahiran bahasa serta kemahiran berfikir aras tinggi melalui penulisan artikel yang bersifat ilmiah.