
Pelajar siapkan slaid pembentangan dalam kelas, raih perhatian warga maya
Sudah menjadi tanggungjawab pelajar untuk membentangkan tugasan dan kerja kursus masing-masing di rumah.
Begitu juga bagi seorang pelajar lelaki, Iqbal Ajla, 19, menyediakan slaid pembentangan seorang diri sewaktu rakan kelas lain membentangkan topik tugasan masing-masing.
Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Tawau itu hanya menggunakan telefon bimbit untuk menyiapkan tugasan berpasangan agar tidak diketahui pensyarah semasa sesi pembentangan pelajar lain.
Tugasan yang disiapkan tersebut adalah subjek English For Communicative Competence.
Ditanya mengenai pasangan tugasan, Iqbal Ajla mengakui rakannya tidak mahir menggunakan bahasa Inggeris menyebabkan dia secara sukarela menyiapkan sekali gus membentangkannya.

“Kawan saya kurang mahir untuk berbahasa Inggeris, jadi saya ambil inisiatif ini untuk menolongnya.
“Bukan saya tidak mahu menyiapkan tugasan sebelum kelas bermula, tetapi pada hari sebelumnya itu pun saya ada tugasan untuk mata pelajaran lain.
“Sebab itu, saya rasa saya boleh siapkan tugasan pembentangan dalam kelas sementara menunggu giliran kumpulan kami,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari pada Jumaat.
Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu meraih sehingga 1.5 juta tontonan dengan lebih 100,000 tanda suka.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memberikan komen positif dengan menyatakan Iqbal Ajla seorang mahasiswa yang pandai.
Ini kerana pelajar berkenaan masih boleh memberi tumpuan semasa melaksanakan tugasan dengan keadaan dan situasi dalam kelas yang agak bising dengan perbincangan.
Bagi pengguna aplikasi itu, @enmaai195 berkata, penyediaan slaid pembentangan tidak memerlukan tulisan yang panjang, namun hanya isi penting sahaja dan selainnya perlu dibentangkan menerusi penerangan.
Dengan cara itu, rakan-rakan lain lebih mudah faham dan topik itu akan senang diingati.
Selain itu, @Waaniaa pula berkata, walaupun slaid pembentangan kelihatan biasa dan membosankan, namun cara menyampaikan ilmu tentang topik itu semestinya berkesan dengan keyakinan yang dimiliki.