No Image Caption

Pelajar UiTM Kampus Rembau angkat seni budaya Malaysia

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
12 Jan 2025 09:00am

Kira-kira 500 penonton telah menyaksikan program Nuansa Dian Ragenda (NDR): Gapura Angkasa di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, baru-baru ini.

Program kebudayaan tahunan bertemakan Cuti-Cuti Malaysia, Nuansa Dian Ragenda: Gapura Angkasa, anjuran Kelab Rembau Arts Generational Delegates (Ragenda), berjaya menarik perhatian ramai dengan pementasan penuh seni dan budaya yang melibatkan lebih 110 orang peserta, termasuk pelakon, penyanyi, pemain muzik, dan kru produksi.

Konsep ‘Gapura Angkasa’ kali ini membawa penonton menjelajah keindahan budaya Malaysia melalui persembahan seni persembahan seperti tarian tradisional, nyanyian rakyat dan lakonan berkonsepkan cerita legenda.

Pementasan turut diserikan dengan iringan muzik secara langsung yang dikendalikan oleh pemuzik berbakat dari pelbagai latar belakang, gabungan tarian Colour of Malaysia berbilang kaum, tarian piring adat Negeri Sembilan, tarian Borneo Kreatif dan tarian Canggung Kreasi Negeri Perlis.

No Image Caption

Penasihat Ragenda, Muhammad Azril Izuan Ramlan berkata, NDR adalah inisiatif warga kelab bertujuan memastikan apresiasi seni budaya dalam kalangan penuntut terus diangkat.

"Kami berhasrat seni budaya Malaysia terus dihargai dan dekat di hati generasi muda, meskipun arus pemodenan kian mencabar minat terhadap kesenian tempatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu, Presiden Kelab Ragenda UiTM Rembau, Ku Aliff Hakimi berkongsi bahawa pelbagai cabaran terpaksa ditempuh dalam usaha memastikan persembahan terbaik dapat disajikan sebelum program berdurasi dua jam itu berlangsung.

“Cabaran pasti ada, namun melalui perbincangan mendalam dan semangat tolak ansur daripada semua pihak, program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar.

"Bermula daripada sebuah impian untuk memartabatkan gabungan budaya melalui seni tari, kini saya amat berbangga kerana ia telah menjadi sebuah karya seni yang bergema megah di Dewan Biduanda, UiTM Rembau.

“NDR: Gapura Angkasa ini bukan sekadar sebuah hiburan untuk penonton, tetapi turut meraikan warisan budaya dari pelbagai negeri serta menonjolkan kreativiti mahasiswa dalam menganjurkan program bertaraf tinggi,” tambahnya lagi.

No Image Caption

Manakala, Pengarah Produksi NDR: Gapura Angkasa, Nur Khalisya berkata, koreografi, busana, muzik, visual, audio, lampu dan skrip telah dilakukan dengan teliti serta rapi oleh mereka yang terlibat.

NDR: Gapura Angkasa ini secara tidak langsung mendapat pujian ramai daripada orang awam yang hadir ke program tersebut bagi menyokong mahasiswa ini dalam memperkenalkan karya seni kebudayaan yang ada di negara kita, Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp