
Pelajar UiTM maut dilanggar motosikal semasa melintas dipercayai pakai 'earbuds'
Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan maut dilanggar sebuah motosikal dipercayai memakai 'earbuds' atau fon putik di telinga semasa melintas di kawasan kampus universiti terbabit pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa turut dipercayai melintas secara melulu semasa kejadian, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan.
"Mangsa yang berumur 19 tahun merupakan pelajar Semester Tiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan didakwa leka semasa melintas kerana ada 'earbuds' di telinga.
"Pihak polis tidak menolak dakwaan ini dan ada saksi nampak mangsa melulu melintas dan siasatan masih berjalan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa yang berasal dari Terengganu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ujarnya, pihak polis menerima makluman berhubung kejadian itu pada jam 6.40 petang hasil laporan orang awam.
Ahmad Shafiki memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah motosikal yang ditunggang pelajar lelaki berusia 20 tahun dalam perjalanan dari pintu utama UiTM Machang menghala ke asrama.
"Setiba di lokasi kejadian, semasa motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai tiba-tiba melintas jalan secara mengejut.
"Penunggang motosikal cuba mengelak ke kiri, namun berlaku perlanggaran dengan pejalan kaki terbabit," katanya.
Tambah beliau, akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas pembahagi jalan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujarnya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di talian 09-9751222," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pelajar perempuan UiTM Cawangan Machang maut dilanggar motosikal semasa melintas di kawasan kampus
- Mangsa berumur 19 tahun dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, didakwa leka semasa melintas kerana memakai 'earbuds'
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.20 petang, mangsa disahkan meninggal di lokasi akibat kecederaan parah di kepala
- Motosikal yang terlibat dalam kemalangan ditunggangi oleh pelajar lelaki berusia 20 tahun dari pintu utama menuju asrama
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai diminta tampil membantu siasatan
