
Pelajar maut dirempuh motosikal di kampus UiTM Machang
Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan maut selepas dilanggar sebuah motosikal di kawasan kampus berkenaan, petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu daripada orang awam pada jam 6.40 petang dan mangsa yang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.20 petang ketika penunggang motosikal dari arah pintu utama universiti itu dalam perjalanan pulang ke asrama.
"Setibanya di lokasi kejadian, ketika motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai telah melintas jalan secara mengejut yang menyebabkan penunggang motosikal mengelak ke kiri sebelum berlaku perlanggaran," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, pejalan kaki berkenaan terjatuh ke atas pembahagi jalan dan cedera pada bahagian kepala.
Ahmad Shafiki berkata, mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat manakala kemalangan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, katanya diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairulanwar Adam melalui talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang 09-9751222. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang pelajar perempuan UiTM Cawangan Machang maut dilanggar motosikal di kampus
- Ketua Polis Daerah Machang umum mangsa berusia 19 tahun meninggal di tempat kejadian
- Kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal hendak pulang ke asrama
- Pejalan kaki melintas secara mengejut menyebabkan penunggang motosikal mengelak dan berlaku perlanggaran
- Mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan