No Image Caption

Pelajar UiTM maut, pengurusan universiti sedia beri bantuan dan sokongan pada keluarga

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
10 Oct 2024 09:51am

Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu menyediakan bantuan dan sokongan yang diperlukan buat keluarga empat mangsa yang terlibat dalam kemalangan pada Rabu.

UiTM dalam satu kenyataan mengesahkan kemalangan yang berlaku di jalan berhadapan kampus itu melibatkan empat pelajar dan tiga daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Tiga mangsa itu adalah Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi.

“Manakala, seorang lagi mangsa Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan kini sedang dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk ratawan lanjut,” katanya.

Pihak universiti juga berdukacita di atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluar pelajar yang terlibat.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah SUV berhadapan universiti berkenaan.

Kesemua mangsa menunggang dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Y15 telah dirempuh pada bahagian belakang oleh SUV jenis Honda CRV yang dipandu seorang wanita.

Rempuhan itu menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke longkang dan CRV tersebut turut terbabas lalu masuk ke longkang berhampiran.

Dalam pada itu, Rektor UiTM Dungun menerusi Instagram menyatakan tiga jenazah akan dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun jam 10 pagi Khamis, disolatkan di Masjid UiTM Dungun sebelum dibawa pulang ke Ampang, Sungai Buloh dan Muar untuk dikebumikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp