
Pendidikan jarak jauh USM: Solusi pintar untuk masa depan lebih cerah
Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (RPJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan akses kepada pendidikan tinggi yang fleksibel bagi mereka yang tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
Hal ini dapat dicapai melalui penerapan pelbagai teknologi dan aplikasi terkini dalam membolehkan pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh dilaksanakan.
Justeru, RPJJ USM yang telah mula ditawarkan sejak 1971, merupakan program pengajian tinggi yang membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang merebut peluang pengajian tinggi sambil bekerja.
Hal ini amat penting dalam konteks masa kini terutama kepada pekerja yang memasuki alam pekerjaan sejurus selepas menamatkan alam persekolahan. Melalui RPJJ, peluang untuk mereka menimba ilmu di universiti belum berakhir. Sebaliknya RPJJ USM memberi peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan mereka tanpa mereka perlu keluar dari alam pekerjaan.
Pembelajaran sambil bekerja bukan sahaja meningkatkan kerjaya, tetapi juga memperkayakan pengetahuan dan pengalaman. Dengan adanya RPJJ, pendidikan menjadi lebih menyeluruh dan mudah diakses sekali gus menyokong pembangunan peribadi dan profesional.
Sistem RPJJ USM membolehkan pembelajaran tanpa kehadiran fizikal di kelas, memanfaatkan teknologi digital untuk sesi pembelajaran. Konsep utama RPJJ adalah fleksibiliti dalam akses terhadap proses pembelajaran yang membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dari pelbagai lokasi.
Melalui pendekatan ini, pelajar yang dihambat kesibukan atau jarak yang jauh dari institusi pendidikan masih berpeluang untuk untuk melanjutkan pengajian pada peringkat tertinggi.
Pelajar boleh menikmati fleksibiliti dalam pembelajaran melalui bahan pembelajaran kendiri, kuliah dan bimbingan secara dalam talian, serta penilaian secara dalam talian. Format ini membolehkan pelajar untuk mengakses bahan pembelajaran, menyertai perbincangan dan menghantar tugasan melalui pelantar portal dalam talian yang disediakan.
Peluang belajar sambil bekerja membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran dan kelayakan sambil terus menikmati kemajuan dalam kerjaya. Bagi majikan, RPJJ menyediakan tenaga kerja yang lebih terlatih dan berpengetahuan tanpa perlu menghantar mereka menghadiri kursus di luar waktu kerja. Dalam kata, RPJJ dapat membantu individu meningkatkan kerjaya mereka serta memberi manfaat kepada organisasi dalam membangunkan tenaga kerja yang berorientasi masa depan.
RPJJ di USM telah mendapat akreditasi serta kurikulum yang relevan dengan pasaran kerja,setiap pelajar akan mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik dan terjamin.
PPPJJ menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Sains Politik dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Antropologi dan Sosiologi dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Ekonomi dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Sejarah dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Kewangan dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Pemasaran dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Strategi dan Pengurusan Organisasi dengan Kepujian.
RPJJ USM adalah pilihan tepat untuk mereka yang mencari peluang menyambung pengajian sambil bekerja tapi berhadapan dengan kekangan masa dan bebanan kewangan. Justeru, teknologi terkini dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai perkhidmatan sokongan menjadi teras untuk memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik.
Sebagai pelajar RPJJ USM, pelajar berpeluang mengikuti pengalaman pembelajaran daripada salah satu universiti penyelidikan tersohor di Malaysia serta universiti yang mempelopori agenda kelestarian.
Permohonan kemasukan ke RPJJ Fasa Kedua dibuka mulai 13 Mei 2025 sehingga 22 September 2025. Rebutlah peluang keemasan ini bagi melanjutkan pengajian di Universiti terkemuka iaitu USM.
Maklumat Penulis
Timbalan Pendaftar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Rashid Abdul Rejab