Pengalaman berharga mahasiswa UPSI di Indonesia
Seramai 15 orang mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai sebuah program mobiliti pelajar di Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin Banten (UIN SMH Banten) Indonesia pada Disember 2023.
Program mobiliti yang diadakan selama lapan hari itu memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk bertukar ilmu sambil mengenali budaya unik rakyat Indonesia, dan membina pengalaman manis di sana.
Perkongsian ilmu dari negara seberang berlaku semasa kuliah bersama mahasiswa UIN SMH Banten, mengambil peluang membandingkan suasana belajar antara Malaysia dan Indonesia.
Di luar persekitaran akademik, mahasiswa UPSI meluangkan masa meneroka kawasan Banten seperti tapak bangunan bersejarah Keraton Kaibon, Muzium Banten dan Bukit Waruwangi, sambil mempelajari sejarah dan budaya masyarakat Banten.
Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk melawat kawasan tarikan pelancong di ibu kota Indonesia, Jakarta yang tidak jauh dari mana mereka berada.
Mereka dapat melawat Monumen Nasional, lebih dikenali sebagai Monas, tugu melambangkan perjuangan rakyat Indonesia untuk mendapatkan kemerdekaan dari genggaman penjajah.
Selain itu, mereka mengunjungi Masjid Istiqlal di Jakarta Pusat yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara.
Mahasiswa UPSI juga sempat mengalami keindahan seni arkitek Belanda pada bangunan lama di Kota Tua.
Peserta turut untuk mencuba hidangan tradisi seperti nasi uduk, bakso, sate Bandeng dan seblak.
Pengalaman pelajar sepanjang program mobiliti itu keseluruhannya sangat positif, layanan mesra dari pihak UIN SMH Bentan membuatkan pelajar berasa selesa sepanjang berada di sana.
Mahasiswa UPSI merasmikan perpisahan mereka dengan mempersembahkan tarian sumazau dan penyampaian sebuah sajak.