

Pensyarah UPSI raih Anugerah Akademik Terbaik Bahasa Melayu 2025
Kecemerlangan dalam dunia akademik sekali lagi terpancar apabila Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Norliza Jamaluddin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik Bahasa Melayu 2025.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen universiti bagi melahirkan sarjana yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berperanan besar memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan besar kepada UPSI sebagai universiti pendidikan terunggul negara.
“Kejayaan Dr Norliza menjadi inspirasi kepada warga akademia untuk terus menghasilkan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Dr Norliza menerima cek cura bernilai RM30,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu anjuran KPT diadakan bagi mengiktiraf tokoh, ahli akademik, penyelidik serta institusi pengajian tinggi yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat nasional serta antarabangsa.
Sementara itu, Dekan FBK, Profesor Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad berkata, kejayaan tersebut sebagai hasil dedikasi dan usaha berterusan Dr Norliza dalam memperkasakan bidang linguistik serta pendidikan bahasa.
“Dia bukan sahaja pendidik yang berwibawa, malah aktif dalam penyelidikan dan penerbitan yang mengangkat martabat Bahasa Melayu di peringkat global.
“Pencapaian ini menyerlahkan keunggulan FBK sebagai pusat kecemerlangan bahasa dan komunikasi,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pensyarah UPSI, Profesor Madya Dr. Norliza Jamaluddin menerima Anugerah Akademik Terbaik Bahasa Melayu 2025
- Anugerah tersebut mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
- Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan kepada UPSI sebagai universiti pendidikan terunggul
- Dr Norliza diberikan cek cura RM30,000, trofi, dan sijil penghargaan oleh Menteri Pendidikan Tinggi
- Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu berperanan penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu secara nasional dan antarabangsa