
Thenmoly raih Anugerah Canselor Unisel! 'Memang layak' - Warganet
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Universiti Selangor (Unisel), Thenmoly Parameswarani diumumkan sebagai penerima Anugerah Canselor sempena Istiadat Konvokesyen Unisel Ke-19 tahun 2025 pada Sabtu.
Menerusi pengiktirafan tertinggi universiti itu, Thenmoly menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan plak sumbangan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) yang disampaikan oleh Canselor Unisel, Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.
Sepanjang pengajian, Thenmoly menonjol sebagai pelajar yang konsisten dan cemerlang dalam akademik.
Ia dibuktikan menerusi kejayaanya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dengan CGPA 3.97 dan menjadi penerima tetap Anugerah Dekan pada setiap semester.

Pada 2021, dia merangkul Anugerah Cemerlang UBS disusuli Anugerah Cemerlang SQL pada 2021 dan 2023.
Lebih membanggakan, pada 2025 Thenmoly dipilih menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar Perakaunan Kebangsaan (NASEA) daripada Institut Akauntan Malaysia (MIA), pengiktirafan peringkat nasional yang menjadi idaman ramai pelajar perakaunan.
Kini, Thenmoly telah memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Audit dan Cukai di firma Seow & Co (Chartered Accountants), langkah awal untuk membina reputasi sebagai akauntan profesional di Malaysia.
Dia berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada pelajar universiti lain agar berani mencabar diri, menetapkan sasaran tinggi serta mengekalkan momentum pembelajaran sepanjang pengajian.

Sementara itu, meninjau ruangan komen media sosial, rata-rata warganet meluahkan rasa bangga dan kagum terhadap pencapaian Thenmoly.
Ramai yang menyifatkan graduan Unisel itu memang layak menerima Anugerah Canselor kerana rekod kecemerlangan akademiknya yang luar biasa sepanjang pengajian sehingga menjadi inspirasi kepada pelajar lain.
Akhir sekali, Sinar Bestari mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Thenmoly. Semoga dia terus maju jaya dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Ringkasan AI
- Thenmoly Parameswarani, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Selangor, diumumkan sebagai penerima Anugerah Canselor
- Menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil penghargaan, dan plak daripada Kumpulan Hartanah Selangor Berhad
- Menamatkan pengajian dengan CGPA 3.97 dan merupakan penerima tetap Anugerah Dekan setiap semester
- Pada 2021 dan 2023, meraih Anugerah Cemerlang UBS dan SQL serta Anugerah Kecemerlangan Pelajar Perakaunan Kebangsaan (NASEA) pada 2025 dari Institut Akauntan Malaysia
- Memulakan kerjaya sebagai Eksekutif Audit dan Cukai dan berharap menjadi inspirasi kepada pelajar universiti lain