Takahashi (kanan) menyampaikan anugerah The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette kepada Kumaraguru (kiri) di kediaman rasmi Duta Jepun di Kuala Lumpur.
Takahashi (kanan) menyampaikan anugerah The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette kepada Kumaraguru (kiri) di kediaman rasmi Duta Jepun di Kuala Lumpur.

Pensyarah UTM terima anugerah berprestij Jepun

14 Jun 2024 05:09pm

Pensyarah Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Kumaraguru Ramayah dianugerah The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette iaitu pingat kebesaran daripada kerajaan Jepun.

The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette yang ditubuhkan pada tahun 1875, merupakan sistem anugerah tertua di Jepun.

Ia dianugerahkan kepada individu, baik warga Jepun mahupun bukan warga Jepun, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka.

Menurut Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi, Kumaraguru sensei (gelaran kehormatan kepada pakar) banyak memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendidikan Bahasa Jepun di Malaysia dan memupuk persefahaman antara kedua-dua negara.

"Kumaraguru sensei merupakan salah seorang pengajar Bahasa Jepun yang paling terkenal di Malaysia.

"Beliau telah terlibat dalam pelbagai aktiviti mempromosikan pendidikan bahasa berkenaan di Malaysia dan persefahaman antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Takahashi berkata demikian dalam majlis penyampaian anugerah kepada Kumaraguru di kediaman rasminya di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Takahashi berkata, peranan penting Kumaraguru dalam menubuhkan kursus bahasa tersebut di UTM secara tidak langsung menjadikannya pusat pendidikan Bahasa Jepun di selatan Malaysia.

"Walaupun majoriti mahasiswa UTM berkaitan dengan kejuruteraan, beliau berjaya memperkenalkan Bahasa Jepun sebagai subjek elektif percuma dengan membangunkan sukatan pelajaran dan kaedah pengajaran sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Kumaraguru menyifatkan penghormatan kerajaan Jepun kepadanya adalah pengiktirafan tertinggi terhadap dedikasi dan semangat mempromosikan pendidikan Bahasa Jepun.

"Ia adalah satu penghormatan yang amat besar. Saya berasa seperti di puncak dunia.

"Pengiktirafan ini bukan meraikan saya sahaja tetapi ia juga untuk UTM dan negara,” jelas beliau.

INFO

Awal pembabitan, Kumaraguru berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Malaysia sebelum memberi sumbangan besar dalam mempromosikan pendidikan Bahasa Jepun dan memupuk persefahaman antara Malaysia dan Jepun.

Pemangkin kerjaya Kumaraguru sebagai guru Bahasa Jepun adalah ketika pemilihan mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Dasar Pandang Ke Timur (LEP) Malaysia.

Beliau menjadi rakyat Malaysia keturunan India pertama yang menerima biasiswa itu untuk program guru Bahasa Jepun.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Tsukuba sebagai Sarjana LEP, Kumaraguru kembali ke Jepun dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam Linguistik Perbandingan di bawah biasiswa kerajaan Jepun.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp