M NASIR
M NASIR

Penyanyi, maestro M Nasir terima Ijazah Kehormat UPSI

NORMAWATI ADNANNORMAWATI ADNAN
23 Nov 2024 12:00pm

Penyanyi dan maestro muzik tersohor, Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak hari ini.

Istiadat yang berlangsung sehingga 30 November ini di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah berkenaan turut menyaksikan penyanyi, Datuk Nash menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganugerahan kepada M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed adalah berdasarkan pengalaman seninya selama empat dekad bermula tahun 1979.

Menurutnya, M Nasir turut menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak tahun 2021, malah Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak dari tahun 2016 sehingga sekarang.

"Sumbangan M Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik, ia mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.

"Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats bertajuk Senandung Semalam pada 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah Hujan yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Nash atau nama sebenar, Nashrudin Elias yang aktif sebagai penyanyi bermula tahun 1986 dan pernah menganggotai kumpulan Lefthanded terkenal dengan lagunya Pada Syurga Di Wajahmu (1992) dan Zahir Tak Terucap (1993).

Dua insan seni ini akan mempersembahkan nyanyian masing-masing sebagai selingan pada sesi pertama konvokesyen.

Artikel Berkaitan:

Dr Md Amin berkata, konvokesyen UPSI kali ke-26 menyaksikan seramai 7,172 graduan menerima ijazah masing-masing.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 154 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (943), Ijazah Sarjana Muda (4,768), Diploma (755) dan 552 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

"Canselor UPSI yang juga Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan majlis istiadat dan menyampaikan ijazah kepada graduan pada sesi pertama.

"Pada sesi ini juga, penghargaan diberikan kepada graduan terbaik melalui anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran Diraja dan Pingat Emas Canselor," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp