Nur Khaleeda.
Nur Khaleeda.

Penyiaran radio masih relevan, permintaan tinggi

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
21 Feb 2023 09:38am

Penyiaran radio kekal relevan menjadi antara medium terbaik untuk menyalurkan maklumat dan hiburan kepada khalayak.

Biarpun berdepan arus modenisasi, penggunaan radio dalam kalangan masyarakat masih tinggi terutama apabila meredah kesesakan lalu lintas sekali gus memberi petanda program Ijazah Penyiaran (Bachelor in Broadcasting) merupakan antara pilihan pelajar di negara ini.

Salah satu institut pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan program tersebut ialah Management and Science University (MSU).

Pengurus Program Ijazah Sarjana Muda Penyiaran, School of Education and Social Sciences, MSU, Nur Khaleeda Mohd Yusri berkata, IPT tersebut menawarkan program Ijazah Penyiaran (Bachelor in Broadcasting) yang meliputi penyiaran televisyen dan radio.

Beliau menjelaskan, penyiaran radio merupakan salah satu cabang bidang penyiaran yang masih relevan dan mendapat permintaan tinggi dalam industri media negara ini.

“Melalui program penyiaran radio, para mahasiswa dapat mempelajari dan mendalami pelbagai pendedahan berhubung industri penyiaran radio.

“Antara ilmu penyiaran radio yang bakal dipelajari termasuk pengacaraan dan hebahan radio, penulisan skrip, suntingan audio, pengurusan radio, etika serta impak sosial dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Kursus yang ditawarkan berasaskan teori tetapi memberi penekanan hands-on kepada mahasiswa-mahasiswa. Ia direka untuk asas penghasilan audio dan industri penyiaran radio,” ujarnya.

Nur Khaleeda.
Nur Khaleeda.

Menurut Nur Khaleeda, pengajian mengenai prosedur rakaman dan penyuntingan asas audio serta pemahaman teori tentang peranan radio dalam konteks global turut dipelajari.

Ujarnya, ia bagi memastikan bakal graduan dilengkapi pelbagai ilmu sekali gus bersedia memasuk industri penyiaran radio dan pasaran pekerjaan apabila menamatkan pengajian.

Bercerita mengenai peralatan dan kelengkapan digunakan dalam pengajian, dia memberitahu, semua peralatan memenuhi piawaian industri yang terkini serta moden.

“Antaranya termasuk studio rakaman yang dilengkapi mixer, fon kepala, monitor pembesar suara aktif, mikrofon, pemproses audio dan lain-lain lagi untuk memberi sentuhan dunia sebenar industri penyiaran radio.

“Dan pengajian program ini mengambil masa tiga tahun,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya yang boleh diceburi para graduan, Nur Khaleeda memberitahu, terdapat pelbagai cabang boleh dipilih.

“Mereka boleh memilih kerjaya sebagai penyiar radio, wartawan penyiaran, pembaca berita radio, penerbit rancangan, penulis skrip, pengamal media bebas dan podcaster.

“Semua ini meliputi kehendak kemahiran industri dan pasaran pekerjaan dalam bidang media serta penyiaran radio di dalam mahupun luar negara,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp