Md Amin Md Taff di Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2024 berlangsung di Stadium UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Md Amin Md Taff di Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2024 berlangsung di Stadium UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Perhimpunan UPSI meriah!

10 Jul 2024 12:05pm

Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2024 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ini dimeriahkan dengan pelbagai program istimewa dan menarik.

Perhimpunan ini merupakan acara bulanan di UPSI bagi mengeratkan lagi silaturrahim dan hubungan baik sesama warga UPSI.

Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), Jaringan Integrasi Teras Universiti (JITU) dan Pusat Sukan telah menerajui perhimpunan itu dengan melibatkan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ).

Majlis itu disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dengan merasmikan Majlis Peluncuran UPSI ke arah Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya, Hari Keluarga UPSI dan Karnival Sukan Staf (KIESTA) UPSI yang berlangsung di Stadium UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Semasa menyampaikan amanat pada majlis itu, beliau berkata UPSI menyambut baik inisiatif dalam merencanakan Pelan Tindakan Universiti ke arah aplikasi teknologi hijau dan melaksanakan program berkonsepkan kelestarian alam sekitar kawasan kampus bagi mencapai pengurangan pelepasan karbon UPSI sehingga 45 peratus pada tahun 2030 seperti yang digariskan dalam Polisi SDG UPSI.

“Ini adalah satu pencapaian yang baik dan permulaan dalam merealisasikan inisiatif UPSI sebagai kampus rendah karbon,” ujar beliau.

Untuk rekod, FSK dan Fakulti Sains Matematik (FSM) UPSI telah menerima anugerah pensijilan provisional dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023 disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Februari lepas.

UPSI mempunyai sistem solar yang dipasang di beberapa kawasan termasuk kompleks sukan, tapak pesta konvokesyen, bangunan fakulti dan beberapa kawasan lain dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan penggunaan tenaga boleh baharu yang sifar karbon selain daripada menjimatkan bil elektrik kampus.

Sehubungan itu, Dekan FSK, Professor Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa, berkata, majlis peluncuran ini adalah bagi mendukung aspirasi negara dalam membina Malaysia Madani dengan masyarakat yang lebih cakna terhadap nilai dan kepentingan memelihara alam sekitar serta keharmonian dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap agar hasrat murni penganjuran acara ini dapat memperkukuhkan rasa kekitaan dan kemesraan dalam kalangan seluruh warga UPSI seterusnya menjadi pendorong kepada hasil kerja yang lebih produktif serta bermutu tinggi,” tambah beliau.

Gimik peluncuran dengan melepaskan 1000 unit belon hijau dan biru.
Gimik peluncuran dengan melepaskan 1000 unit belon hijau dan biru.

Majlis diteruskan dengan kempen Revolusi Keselamatan Jalan Raya daripada Syarikat Chong Motorcycles, Goh Brothers Cars yang mempamerkan kereta BYD seterusnya daripada Didi Motors, Perodua, Sekolah Memandu Wawasan dan juga agensi-agensi kerajaan seperti JPJ, Jabatan Bomba dan PDRM.

Di samping itu, sambutan Hari Keluarga UPSI yang sememangnya telah menjadi acara tahunan Di UPSI digirangkan dengan hidangan buah durian yang dianggarkan lebih daripada satu tan, di samping menu-menu tradisional dari setiap fakulti.

Hari Keluarga UPSI 2024 diceriakan dengan satu tan buah durian.
Hari Keluarga UPSI 2024 diceriakan dengan satu tan buah durian.

Majlis dimeriahkan lagi dengan majlis pembukaan Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Sukan bermula pada hari ini sehingga 12 Julai 2024 selama dua minggu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp