Perjalanan dunia wartawan hiasi perkongsian Kerjaya K-Semanis ‘23
Karier seorang wartawan bukan sahaja berkisarkan tentang pengalaman beradaptasi dengan isu semasa bagi memberikan maklumat kepada orang ramai tetapi juga ketelitian dan kehalusan dalam aspek penulisan.
Itu antara perkongsian Editor Sinar Bestari, Mariatul Qatiah Zakaria kepada kira-kira 120 pelajar sekolah menengah dari daerah Klang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sultan Sulaiman dan SMK Bukit Kapar semasa perkongsian Kerjaya bersama Karangkraf sempena K-Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi STEM (K-Semanis)’23 pada Khamis.
Perkongsian yang disampaikan di Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam itu mendapat kerjasama pihak kampus dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.
Menerusi program berkenaan, para pelajar didedahkan tentang karier wartawan yang merangkumi pengenalan, persiapan dan cabaran sepanjang masa.
Bukan itu sahaja, pelajar turut diberikan asas dan teknik penulisan yang efektif dalam karangan merangkumi peletakan penanda wacana yang sesuai dan formula 5W1H.
Justeru, perkongsian berkenaan bukan sekadar satu ceramah berbentuk pengenalan terhadap bidang tersebut tetapi turut membantu pelajar memperkasa aspek kesusasteraan bahasa Melayu.
Menurut Guru Kaunseling, SMK Bandar Sultan Sulaiman, Nurhafizah Mohd Rais, ramai dalam kalangan pelajar kini kurang berminat terhadap penulisan disebabkan faktor gajet yang lebih mendominasi tabiat harian mereka.
“Jadi, saya kira program pada hari ini mampu mewujudkan kembali kecenderungan para pelajar terhadap penulisan dan pada masa yang sama dapat memahami relevannya kerjaya sebagai wartawan yang kini semakin beradaptasi dengan nafas baharu generasi muda,” katanya kepada Sinar Bestari.
Sementara itu, Guru SMK Bukit Kapar, Fadzilah Amri berpandangan, perkongsian yang diberikan dapat membuka pengalaman lebih luas terhadap dunia kerjaya.
“Kadang-kadang ramai yang tidak mengetahui tentang dunia kerjaya dengan lebih mendalam dan mereka hanya nampak apa yang di depan mata sahaja.
“Maka, perkongsian hari ini sedikit sebanyak dapat membuka minda mereka dengan lebih luas terhadap perkara tersebut,” ulasnya.
Sinar Bestari turut memberi perkongsian mengenai asas penyiaran kepada guru-guru yang terlibat.
K-Semanis ‘23 anjuran PPD Klang bersama UiTM Kampus Puncak Alam berlangsung selama dua hari mulai 9 hingga 10 Ogos 2023 yang turut menyajikan pelbagai program dan pertandingan kepada para pengunjung.
Antaranya Pertandingan Puisi Dalam Lagu Bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan Bercerita Digital.
Turut tersenarai Pertandingan Inovasi Kategori Terbuka dan Kefahaman Melalui Rekabentuk (KMR) Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) serta Pertandingan Dekorasi Makanan Sekolah Rendah dan Menengah.