Pertemuan singkat antara Zambry dan Izz Imil baru-baru ini, tentunya memberi pengalaman terindah buat pelajar genius berkenaan.
Pertemuan singkat antara Zambry dan Izz Imil baru-baru ini, tentunya memberi pengalaman terindah buat pelajar genius berkenaan.

Pertemuan singkat Menteri Pendidikan Tinggi dengan Izz Imil. ‘Dia ceria dan petah berbicara. Perbualan kami banyak berkisar tentang nombor’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
02 Oct 2024 12:30pm

Kisah pelajar genius, Izz Imil Shahrom, 12, yang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia.

Masing-masing memberikan hujah dan mengemukakan pendapat tersendiri tentang kehebatan Izz Imil yang menjadi pelajar termuda mendaftar di universiti berprestij itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir antara individu yang telah dimaklumkan tentang kejayaan anak genius tersebut.

Beliau telah meluangkan masa untuk bertemu empat mata dengan Izz Imil di UM yang turut disertai ibu bapa pelajar itu dan juga Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Zambry berkata, Izz Imil sama seperti anak-anak lain seusia dengannya.

"Dia berpewatakan ceria dan sangat petah berbicara. Ternyata minat terhadap Matematik sangat mendalam sehingga perbualan kami banyak berkisar tentang nombor.

"Sama-sama kita doakan Izz Imil dapat belajar dengan baik, menjadi pelajar cemerlang, mampu memberikan hasil terhebat kepada masyarakat dan negara.

"Kita jumpa lagi nanti. Banyak game trick yang kita nak buat sama-sama kelak," katanya di Facebook.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pengambilan Izz Imil telah melalui proses temu duga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti dan diluluskan Senat Universiti bagi menyambung pengajian di UM.

Ujarnya, pihak universiti telah merangka beberapa perancangan khusus untuk beliau (Izz Imil) agar dapat belajar dengan persekitaran yang baik dan kondusif.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp