
Pesanan guru jadi azimat buat Umar Dzakir
Biarpun dilahirkan dengan kekangan fizikal akibat masalah saraf, siapa sangka anak kepada seorang tukang gunting rambut membuktikan kekurangan diri bukan penghalang capai kejayaan.
Kecemerlangan Umar Dzakir Ab Razak, 21, terserlah apabila diumum sebagai penerima Anugerah Khas sempena Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) pada Isnin.
Graduan Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan yang memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.83 itu berkata, anugerah diterima menjadi pemangkin semangat untuk lebih cemerlang apabila membuat keputusan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah.
Menurutnya, pencapaian itu juga hasil daripada amalan harian yang konsisten termasuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT melalui solat berjemaah serta ibadah rutin lain
"Ilmu adalah satu perjalanan yang kita ambil untuk manfaat dalam kehidupan sama ada dalam bidang agama, sains atau akademik.
"Akan tetapi bila mana dinamakan ilmu, maka ilmu adalah sesuatu yang membawa kita kepada keredaan ALLAH," katanya.
Istiadat konvensyen itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Anak sulung daripada lima beradik itu memberitahu perjalanan akademiknya tidak mudah kerana melalui pelbagai cabaran dan kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Jelasnya, cabaran terbesar adalah merasakan dirinya berbeza daripada orang lain.
"Kadang-kadang saya berasa kurang yakin dan tidak semangat tapi saya selalu teringat pesanan guru yang menekankan bahawa seseorang dikira gagal bukan apabila tidak berjaya mencapai sesuatu, tetapi apabila berhenti berusaha.
"Selagi kita terus berjalan dan melakukan segala usaha untuk mendapatkan keredaan ALLAH, kita dikira berjaya dan berada di jalanNya," kata Umar Dzakir lagi. - Sinar Harian
Ringkasan AI
- Biarpun dilahirkan dengan kekangan fizikal akibat masalah saraf, anak tukang gunting rambut berhasil meraih Anugerah Khas di UniPSAS
- Umar Dzakir Ab Razak memperolehi PNGK 3.83 dalam Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan
- Pencapaian Umar diperoleh melalui amalan harian yang konsisten dan mendekatkan diri dengan ALLAH melalui ibadah
- Umar menyatakan ilmu sebagai perjalanan yang bermanfaat dalam kehidupan dan membawa kepada keredaan ALLAH
- Menghadapi cabaran sebagai orang kurang upaya, Umar tetap berusaha dengan semangat dan terinspirasi oleh nasihat guru