PMS usahakan tanaman terung secara fertigasi hingga berjaya hasilkan 700 polibeg, tahniah!
Unit Teknologi Hijau, Politeknik Muadzam Shah (PMS) baru-baru ini, berjaya mengusahakan tanaman terung secara fertigasi dalam usaha menarik minat mahasiswa meminati bidang pertanian.
Menurut Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal PMS, Mohd Faizal Ngaimon, projek terung secara fertigasi itu berjaya menghasilkan 700 bungkus polibeg setakat ini di atas kawasan seluas suku ekar di PMS.
Katanya, projek yang bermula November tahun lalu itu membabitkan barisan pensyarah dan penuntut Kelab Unit Teknologi Hijau. Ia merupakan projek sulung mereka yang mendapat kerjasama penuh Jabatan Pertanian Daerah Rompin, Pahang, yang memberikan bantuan dari segi sistem perpaipan dan fertigasi.
“Projek julung kali ini ternyata memberikan kegembiraan kepada kami kerana sebanyak 2.5 kilogram (kg) hasil tuaian sulung telah diperoleh dan sudah 10 kali tuaian dilakukan.
“Jumlah keseluruhan hasil sehingga kini adalah sebanyak 300 kg dan ia membuktikan projek terung fertigasi mampu memberikan pulangan yang amat lumayan,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Sementara itu, Pengarah PMS, Che Alias Jusoh melahirkan rasa gembira dengan kejayaan projek tersebut.
“Saya sendiri menyedari projek seperti ini bukan suatu yang mudah untuk dilaksanakan memandangkan kami masih belum memiliki tenaga pakar dalam bidang fertigasi.
“Namun segala kesukaran itu tidak menjadi penghalang kerana berkat kesungguhan pensyarah dan penuntut terlibat akhirnya mereka berjaya mencapai target untuk menjadikan projek fertigasi sebagai antara bidang kebitaraan kejuruteraan,” ujarnya yang mengharapkan Unit Teknologi Hijau terus menggandakan usaha untuk memperluaskan skop tanaman lain kerana ia mampu menjadi satu fenomena baru dalam kalangan warga PMS.
Dalam pada itu, Ketua Projek Fertigasi, Mohd Rizal Azman Rifin memberitahu, tanpa kesungguhan peserta, kejayaan sukar dicapai.
“Sejak awal lagi saya sentiasa meniupkan kata-kata semangat untuk bersabar kerana bidang pertanian baik yang berbentuk tradisional atau moden pasti akan bertembung dengan masalah.
“Hanya yang bersabar dan terus tekun mengusahakannya akan berjaya,” jelas Rizal Azman yang juga pensyarah JKM dan Ketua Unit Teknologi Hijau PMS.
Dapat permintaan tinggi
Rizal Azman berkata, permintaan untuk buah terung yang diusahakan mereka begitu tinggi dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, mereka tidak berkesempatan untuk menjual kepada orang luar kerana permintaan pensyarah dan penuntut PMS juga tinggi.
“Kami mohon maaf kepada masyarakat setempat. Insya-ALLAH jika ada rezeki lebih, kami akan berkongsi dengan anda,” ujarnya dengan memberitahu jualan terung PMS dapat menjimatkan kos keperluan dapur warga kampus kerana harga terung ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga pasaran di luar.
Pegawai Pertanian Daerah Rompin, Norazlina Ismail yang turun padang melawat tapak projek fertigasi terung memberitahu, politeknik itu berjaya mengetengahkan usaha agro tani moden dengan penampilan sulung projek terung mereka.
“Setinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek fertigasi terung PMS.
“Saya sangat bersyukur dengan apa yang dihasilkan terutamanya dari segi jumlah kutipan yang tinggi setiap kali tuaian.
“Kejayaan mereka sekali gus membuktikan PMS mampu menjadikan projek fertigasi sebagai bidang keutamaan demi kebaikan semua,” tutur Norazlina.
Akhiri Norazlina, pihak Jabatan Pertanian Daerah Rompin bersedia menyalurkan lebih banyak bantuan sokongan dalam usaha memperluaskan lagi tapak fertigasi di sini.
“Saya yakin para pensyarah dan mahasiswa mampu mengusahakannya dengan baik memandangkan mereka sudah mahir dan memiliki ilmu fertigasi serta segala perkara berkenaan penyelenggaraan.
“Malah aspek penyakit tanaman juga sudah mereka sudah tahu dan ini adalah satu nilai tambah sangat berharga dalam memperkasakan projek fertigasi masa depan,” ujarnya.