![Para peserta mendapat pelbagai maklumat menerusi lawatan ilmiah mereka ke Kumpulan Media Karangkraf.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/14/3007434.jpg)
Politeknik Muadzam Shah adakan lawatan sambil belajar ke Kumpulan Media Karangkraf
Kumpulan pelajar baharu Diploma Teknologi Media Cetak (industri percetakan), Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke kompleks Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis.
Ketua Program Diploma Teknologi Media Cetak, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Ts Meor Saifulah Lulaed Meyor Samsudin berkata, lawatan bertujuan memperkenalkan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) sebagai pendekatan pembelajaran berstruktur yang menyediakan pelajar dengan pengalaman kerja sebenar melalui program imersif yang dibimbing pengamal industri.
"Pendekatan ini dapat menyumbang kepada kebolehpasaran graduan di mana pelajar akan mengikuti program pengajian WBL selama dua tahun enam bulan berbanding tiga tahun. Ini bermaksud mereka akan menjalani kuliah di kampus selama tiga semester manakala dua semester lagi akan dihabiskan dalam latihan industri.
"Para pelajar dibawa melawat ke Ultimate Print Sdn Bhd untuk diberi pendedahan secara langsung industri percetakan dari aspek press, pre-press dan post-press. Mereka memberi maklum balas positif hasil lawatan tersebut. Sebelum ini, mungkin ada kalangan mereka yang belum jelas mengenai industri percetakan dan sumbangan mereka dalam memajukan industri tersebut," ujarnya.
Pensyarah Program Diploma Teknologi Media Cetak, Hazwani Hashim berharap lawatan ini dapat meningkatkan semangat pelajar untuk mendalami ilmu dalam bidang yang diceburi.
"Antara cabang kerjaya berkaitan industri percetakan termasuklah pereka bentuk, operator mesin dan Kawalan Kualiti (QC)," katanya.
Selain memberi pendedahan kepada pelajar, lawatan ini juga menjadi platform kepada pihak PMS untuk menyampaikan hasrat bekerjasama dengan Kumpulan Media Karangkraf bagi menjayakan pelaksanaan program pengajian WBL.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin yang meraikan kehadiran delegasi tersebut, mengalu-alukan kunjungan mereka dan berharap hubungan baik antara kedua-dua pihak dapat diteruskan pada masa akan datang.
Berdasarkan pengalaman luas dalam industri, Kumpulan Media Karangkraf berhasrat untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran dengan PMS sebagai salah satu tanggungjawab dalam memperkasakan bidang percetakan di negara ini.