Perkembangan pesat penggunaan AI dalam bidang kesihatan dan perubatan memerlukan kesiapsiagaan ahli profesional kesihatan memperkukuhkan pengetahuan serta kemahiran mengendalikan teknologi ini.
Perkembangan pesat penggunaan AI dalam bidang kesihatan dan perubatan memerlukan kesiapsiagaan ahli profesional kesihatan memperkukuhkan pengetahuan serta kemahiran mengendalikan teknologi ini.

Profesionalisme menghadapi revolusi AI dalam sektor kesihatan

17 Apr 2024 12:27pm

Sejajar peredaran zaman yang serba moden, penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) bukanlah suatu yang asing.

AI merupakan teknologi memfokuskan penggunaan mesin atau komputer yang dilatih untuk mempunyai fungsi kongnitif dan kepintaran seperti manusia.

Perkembangan pesat dan kehadiran AI bukan sahaja mengubah landskap dalam bidang ekonomi, industri, pendidikan tetapi ia juga semakin berkembang dalam bidang kesihatan dan perubatan.

Dalam bidang kesihatan dan perubatan, AI membawa revolusi yang besar dalam pemprosesan imej dan bidang diagnostik, analisis ramalan, rawatan, pemantauan pesakit, pembedahan robotik, chatbots serta produk penjagaan kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan kepada masyarakat.

Perkembangan pesat penggunaan AI dalam bidang kesihatan dan perubatan memerlukan kesiapsiagaan ahli profesional kesihatan memperkukuhkan pengetahuan serta kemahiran mengendalikan teknologi ini.

Kajian sekumpulan penyelidik di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti KPJ Healthcare terhadap ahli profesional kesihatan yang terdiri daripada doktor, jururawat, juru sinar-X, jurupulih perubatan fisioterapi, ahli farmasi, jurupulih perubatan carakerja, penolong pegawai perubatan, juruteknologi makmal perubatan, ahli dietitik dan pembantu dewan bedah mendapati mereka bersedia mengintegrasikan teknologi AI dalam amalan klinikal seharian walaupun pengetahuan terhadap teknologi itu masih ditahap rendah.

Sejumlah 81.3 peratus ahli profesional kesihatan mengetahui AI berpotensi dalam meningkatkan produktiviti dan efisiensi penjagaan kesihatan.

Namun begitu, segelintir (33.3 peratus) mengetahui potensi teknologi ini dalam mendiagnosis dan menganalisa data dengan lebih cepat dan tepat.

Artikel Berkaitan:

Algoritma AI dalam tafsiran imej imbasan CT dan MRI berpotensi meningkatkan ketepatan diagnostik dengan lebih cepat membolehkan rawatan awal dapat dilakukan segera dan lebih berkesan. Ia menjadikan bidang pengimejan perubatan berpotensi tinggi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan pesakit.

Hanya 32.8 peratus mengetahui AI tidak hanya mampu melakukan pengumpulan dan analisis data yang besar tetapi juga memungkinkan penyesuaian rawatan mengikut keperluan peribadi setiap pesakit.

Teknologi itu dapat menganalisis rekod kesihatan pesakit, mengenal pasti corak dan faktor risiko, serta meramalkan perkembangan penyakit dengan lebih tepat disamping membantu pakar perubatan merancang rawatan bersesuaian dengan keperluan khusus setiap pesakit. Hal tersebut dapat meningkatkan keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan dan dapat meningkatkan tahap kepuasan dan keselesaan pesakit.

Ironinya, majoriti (55.6 peratus) ahli profesional kesihatan menganggap integrasi AI dalam bidang ini memberi impak negatif kepada kemahiran manusia dalam membuat penilaian klinikal yang kompleks kerana meningkatnya kebergantungan pada analisis AI.

Namun, teknologi AI sepatutnya dilihat sebagi alat bantu yang melengkapi kemahiran dan pengetahuan profesional kesihatan dan bukanlah pengganti kepada manusia sepenuhnya.

Latihan dan pendidikan lanjutan dalam bidang AI boleh dilaksanakan bagi memastikan profesional kesihatan mempunyai kemahiran serta pengetahuan mencukupi untuk menggunakan teknologi ini secara efektif.

Dengan pendekatan yang bijak dan seimbang, AI berpotensi untuk memberikan manfaat yang besar kepada pesakit dan profesional kesihatan dalam meningkatkan kualiti dan keberkesanan penyediaan rawatan kesihatan secara menyeluruh.

Maklumat Penulis

1 - Tutor di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti KPJ Healthcare (KPJU), Nur Anis Izzati Che Mut

2 - Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan KPJU, Profesor Dr Norhayati Mohd Zain

3 - Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengimejan Perubatan KPJU, Janany Saravana Kumar

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp